Pada 26 Mei 2024, di Zhengzhou, China, telah berlangsungnya 11th World Women University President Forum yang menampilkan penglibatan aktif Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University. Beliau telah dijemput untuk menyampaikan perkongsian dan pandangan dalam topik “Evolution of Smart Society and Education Systems“, satu topik yang relevan dan penting dalam era digital ini. Forum yang dianjurkan oleh Organizing Committee of the World Women University President Forum, Huanghe ST University dan Communication University of China ini telah dihadiri lebih daripada 200 wakil dari 60 buah negara dan wilayah. Matlamat utama forum ini, adalah untuk memanfaatkan kekuatan dan kehebatan dalam kalangan presiden wanita universiti di seluruh dunia, dengan menyediakan platform antarabangsa untuk komunikasi, kerjasama, dan pertukaran idea bagi pembangunan pendidikan tinggi serta mempromosikan kepimpinan wanita. Menerusi pembentangannya, Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur mengupas dengan lebih mendalam bagaimana UCYP University telah mengaplikasikan teknologi Masyarakat Pintar dalam pelbagai bidang seperti Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Budaya dan Kelestarian. UCYP University sentiasa mengintegrasikan teknologi terkini untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran, sekaligus mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran dalam industri pekerjaan. Beliau menekankan bahawa dalam konteks pendidikan, teknologi bukan sahaja memudahkan proses pengajaran tetapi juga membuka peluang untuk pembelajaran yang lebih interaktif dan berpusatkan pelajar. Penggunaan teknologi seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) dan banyak lagi telah membolehkan UCYP University untuk menawarkan kurikulum yang lebih dinamik dan responsif kepada keperluan industri dan masyarakat. Selain itu, UCYP University tidak hanya menumpukan pada aspek pendidikan semata-mata, tetapi juga memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, dan kelestarian. UCYP University berusaha melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat lokal dan global. Ini dicapai melalui program-program yang dirancang secara khusus untuk membekalkan kemahiran praktikal dan pengetahuan teori yang relevan serta memenuhi keperluan majikan dan industri. UCYP University turut aktif dalam menggalakkan kepelbagaian budaya dan inklusiviti, melalui penganjuran pelbagai program-program kebudayaan dan kemasyarakatan yang bertujuan untuk memupuk persefahaman dan kerjasama antara pelajar dari pelbagai latar belakang serta komuniti setempat. Selain itu, aspek kelestarian turut diambil oleh universiti dalam memastikan kelestarian kampus dan komuniti sekitarnya. Ini termasuk inisiatif-inisiatif seperti penganjuran program kesedaran alam sekitar yang melibatkan seluruh warga universiti serta pelaksanaan dasar kerajaan negeri khususnya dalam kelestarian alam sekitar. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur turut menyatakan bahawa forum seperti ini adalah sangat penting untuk memperkasakan wanita dalam kepimpinan akademik dan memacu perubahan positif dalam pendidikan tinggi. Beliau juga berharap agar melalui platform ini, UCYP University dapat terus dikenali di peringkat antarabangsa sebagai sebuah institusi yang inovatif dan progresif. Bagi UCYP University, penyertaan dalam forum ini bukan sahaja memberi peluang untuk menunjukkan pencapaian universiti tetapi juga untuk belajar daripada institusi lain dan mengukuhkan jaringan antarabangsa. Ini selari dengan komitmen UCYP University untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan graduan yang bersedia menghadapi cabaran global. Sebagai kesimpulan, 11th World Women University President Forum merupakan platform yang amat berharga bagi semua peserta, terutama dalam usaha memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan mempromosikan kepimpinan wanita dalam pendidikan tinggi. UCYP University, melalui penyertaan aktifnya, terus berusaha untuk menjadi pemimpin dalam inovasi pendidikan dan pembangunan masyarakat pintar.
Sesi Perkongsian oleh Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University
Sorotan semasa program
Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur bersama para peserta Program 11th World Women University President Forum