Baru-baru ini UCYP telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Ko-kurikulum UCYP & KYP yang bertempat di Kompleks Yayasan Pahang pada 10 Disember 2019.
Majlis tersebut diadakan bagi menghargai usaha pelajar UCYP dan KYP dalam mencapai keputusan akademik dan ko-kurrikulum yang cemerlang.
Di bawah naungan Pejabat Timbalan Naib Canselor UCYP (Akademik & Antarabangsa), program ini merupakan pembakar semangat agar para pelajar dapat terus berusaha untuk memperoleh pencapaian yang memberangsangkan di masa hadapan.
Jumlah pelajar yang memperoleh PNG 3.5 dan ke atas bagi sesi Jun-November 2019 ialah seramai 423 yang melibatkan pelajar dari semester satu (1) hingga semester akhir.
Pelajar UCYP yang dianugerahkan Anugerah Dekan dengan keputusan PNG 3.5 dan ke atas ialah seramai 173 orang, manakala pelajar yang dianugerahkan Anugerah Timbalan Naib Canselor ialah seramai 161 orang dengan keputusan PNG 3.7 dan ke atas. Anugerah Naib Canselor pula iaitu nilai PNG 3.9 dan ke atas pula dianugerahkan kepada 64 pelajar.
Dalam pada masa yang sama, Kolej Yayasan Pahang (KYP) telah berjaya menghasilkan seramai 25 orang pelajar cemerlang yang memperoleh PNG 3.5 dan ke atas. 21 daripada penerima anugerah diberikan Anugerah Dekan, manakala empat (4) lagi diberikan Anugerah Ketua Eksekutif KYP dengan PNG 3.8 dan ke atas.
Selain daripada meraikan pencapaian akademik pelajar cemerlang, majlis ini juga bertujuan meraikan pencapaian pelajar yang cemerlang dalam ko-kurrikulum.
Antara kategori anugerah yang diberikan termasuk Ikon Kepimpinan, Ikon Sukarelawan, Ikon Sukan, Ikon Badan Beruniform, Ikon Seni, dan Pasukan Terbaik (E-Sukan) yang bertujuan sebagai tanda penghargaan terhadap bakat para pelajar yang terserlah dalam bidang ko-kurrikulum.
Naib Canselor UCYP Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin berkata bahawa jumlah penerima anugerah yang signifikan telah menaikkan nama UCYP secara tidak langsung sebagai pusat pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan cemerlang bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga ko-kurrikulum.
Pengurusan Tertinggi sedang meraikan pencapaian pelajar UCYP & KYP
Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin sedang menyampaikan ucapan untuk meraikan para pelajar
Penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum bersama Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor UCYP