Mengaplikasikan Zoom dan Facebook live sebagai platform pertemuan norma baharu, Jabatan Rangkaian Indusrti dan Penyelidikan UCYP, telah menganjurkan World of Career: Work Skills Development yang telah menghimpunkan seramai 165 orang mahasiswa UCYP sebagai persediaan mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Menurut Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin, beliau percaya bahawa bengkel seperti ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang optimum dari segi perkembangan teknologi, komunikasi yang berkesan, amalan kerja berpasukan, dasar, prosedur dan peraturan, serta perspektif professional. Malah, telah terbukti 80 peratus pelajar UCYP telah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam (6) bulan selepas tamat latihan industri, tambahnya lagi.
Peluang dan ruang yang diberikan oleh UCYP mampu memberikan nilai tambah kepada pelajar dengan penglibatan kolaborasi bersama beberapa penceramah luar yang berpengalaman dan mampu memberikan persediaan yang lengkap kepada alam pekerjaan.
Program yang berlangsung selama satu hari ini, turut melibatkan empat (4) penceramah jemputan yang terdiri daripada Encik Muhammad Alief bin Zin Azman (PERKESO Pahang), Encik Alfred Leo dan Cik Benny Razali (GTI Media), Puan Emy Yuzliza binti Yahya (CEO Engage People) serta Cik Jade Lim dan Encik Kimmie Abdullah (Agensi Pekerjaan Engage People) yang turut berkongsi pengalaman dan tips menghadapi alam pekerjaan.
Semoga dengan usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Rangkaian Industri dan Penyelidikan UCYP mampu menjadikan graduan UCYP berketerampilan, berkemahiran dan menjadi graduan yang serba lengkap untuk menempuh alam pekerjaan.
Ditulis oleh : Muhammad Azamuddin bin Mohd Asri
Cik Benny Razali dan Puan Emy Yuzliza merupakan antara penceramah yang sudi berkongsi tips dan pengalaman ketika bengkel pembangunan kemahiran kerja
Antara pelajar yang terlibat dalam program Dunia kerjaya : Bengkel Pembangunan Kemahiran Kerja secara atas talian menerusi platform Zoom.