18 MARCH 2021
‘INILAH PAHANG’ TEMA BAHARU PELANCONGAN NEGERI PAHANG
Satu Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang This is Pahang (Inilah Pahang) telah berlangsung di Dewan Aqua Crystal, Kampus Utama UCYP, Tanjung Lumpur yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail. Turut hadir sama adalah YB Dato’ Sri Hj. Mohd Sharkar bin Hj. Shamsuddin, YH Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Hj. Zainuddin, YH Dato’ Ishak Mokhtar, Yang Berhormat Exco-exco Negeri Pahang, ketua-ketua jabatan negeri, badan-badan industri pelancongan serta hampir 300 tetamu lain yang hadir secara atas talian.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang,Tourism Pahang dan UCYP.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, This is Pahang (Inilah Pahang) merupakan inisiatif penjenamaan semula tema pelancongan negeri Pahang yang bertujuan memberi nafas baharu kepada sektor perlancongan negeri Pahang yang terkesan ekoran pandemik yang melanda dunia bermula tahun lalu.
Tema baharu pelancongan negeri Pahang – This is Pahang (Inilah Pahang) merupakan pilihan yang amat tepat bagi memperkenalkan pelbagai elemen istimewa yang dimiliki oleh negeri Pahang Darul Makmur.This is Pahang (Inilah Pahang) mengetengahkan negeri Pahang sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam serta khazanah pelancongan yang boleh dibanggakan di samping kedudukan geografi yang strategik, kepelbagaian makanan yang unik serta panorama yang amat mengagumkan. Di samping itu, This is Pahang (Inilah Pahang) turut berperanan dalam kepentingan pembangunan pelancongan lestari demi meminimakan kesan negatif kepada ekologi. Pendekatan yang bersifat bertanggungjawab menjurus kepada masyarakat yang berupaya mengekalkan dan memelihara keaslian sumber alam, khazanah rimba, adat, warisan serta budaya. This is Pahang (Inilah Pahang) turut menggambarkan elemen kesatuan dan perpaduan kerana semua lapisan masyarakat secara tidak langsung terlibat dalam usaha mempromosikan negeri Pahang. This is Pahang (Inilah Pahang) dilihat begitu hampir dan signifikan kepada komuniti tempatan serta pengunjung luar dan berupaya merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Pahang Darul Makmur.
“Pemilihan tema baharu ini yang bertepatan dengan elemen yang dibawa dan ia adalah bagi menggantikan Pahang Simply Awesome yang digunakan sejak tahun 2019. This is Pahang turut dijadikan suntikan semangat kepada pengusaha pelancongan untuk kembali bangkit ekoran penularan COVID-19 yang bermula tahun lalu sehingga kini”, katanya ketika ditemui media di UCYP.
Black box dipilih sebagai konsep Majlis Pelancaran ‘This is Pahang’. Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang ini berlangsung hampir tiga jam dan diakhiri dengan kemuncak program iaitu persembahan multimedia ‘This is Pahang’. Bingkisan gimik menceritakan tentang destinasi pelancongan dengan panorama menarik dan rangkaian tema pelancongan yang terdahulu. Selain itu, label ‘This is Pahang’ dilekatkan pada kenderaan Tourism Pahang dan UCYP, simbolik permulaan perjalanan usaha mempromosikan ‘This is Pahang’.
Dalam pada itu, sewaktu ucaptama oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang, melalui Tourism Pahang dan Majlis Pemulihan Negara (MPM) turut menganjurkan pertandingan Fotografi dan Lukisan bagi memeriahkan lagi aktiviti bersempena tema baharu ini.
“Penganjuran pertandingan ini dilihat dapat memeriahkan lagi pelancaran tema baharu pelancongan serta mampu mempromosikan budaya serta destinasi-destinasi menarik kepada pelancong dalam dan luar negara”, katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 100 orang tetamu yang hadir dan turut disiarkansecara langsung di platform ZOOM & facebook rasmi UCYP.
Pertandingan Fotografi dan Lukisan ini merupakan kerjasama pertama UCYP, Tourism Pahang serta Majlis Pemulihan Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM 17,600.
Dua kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ianya mensasarkan penglibatan di semua peringkat termasuk pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) malah turut dibuka kepada golongan profesional.
Menurut Pengarah Program Pertandingan Fotografi dan Lukisan, Puan Suhaila Haji Mukhtar berkata, selain menjadi platform mencungkil bakat menerusi penghasilan karya seni fotografi dan lukisan, pertandingan ini mampu mendorong komuniti tempatan untuk mengekalkan keaslian warisan negeri Pahang dan seterusnya mengetengahkan budaya tempatan ke persada antarabangsa.
“Banyak tempat-tempat menarik yang perlu dipromosikan kepada warga tempatan, justeru platform pertandingan seperti ini mampu menarik semua golongan masyarakat untuk meneroka negeri Pahang dengan lebih lagi. Ia sekaligus mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi pelancongan di negeri Pahang,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Penolong Profesor Dr. Ruzita Manshor memaklumkan bahawa, UCYP dengan Kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang akan mengadakan Pahang International Tourism Symposium secara atas talian pada 8 April nanti.
Simposium antarabangsa itu akan melibatkan beberapa orang panel dari Malaysia dan luar negara. Penganjuran program bakal mengupas tentang isu, implikasi dan strategi rentetan penularan COVID-19 kepada pemain industri pelancongan khususnya di negeri Pahang.
Pendaftaran Pahang International Tourism Symposium boleh dilakukan sehigga 7 April 2021 di http://bit.ly/PAHANGINTERNATIONALTOURISMSYMPOSIUM.
Logo This is Pahang
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail bersama-sama Exco Negeri Pahang yang hadir sewaktu pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, bersama YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin dan YH Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dengan penuh gaya, selepas melekatkan label This is Pahang di kenderaan UCYP.
Mengabadikan momen ruang simbolik This is Pahang selepas tamat majlis pelancaran.
Ketika ketibaan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail diiringi, Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin,YB. Dato’ Sri Norolazali bin Sulaiman dan YH Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin berjalan masuk ke dewanAqua Crystal, UCYP Tanjung Lumpur.