1 Jun 2021 – University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Pertama di Malaysia yang telah menerima sijil pengiktirafan ISO 37001 2016: Sistem Pengurusan Anti-Bribery atau Anti-Bribery Management System (ABMS) oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Sistem ini digunakan sebagai garis panduan kepada organisasi dalam mencegah, mengesan dan mengambil tindakan keatas kesalahan aktiviti rasuah dengan membangunkan dan menggunapakai polisi antirasuah, tatacara mencukupi dan mematuhi undang-undang anti-rasuah.
Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin yang juga merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan KYP Education Sdn. Bhd. (KESB) berkata, pengiktirafan yang diberikan menunjukan kredibiliti dan kualiti jenama pendidikan UCYP & KYP dengan membudayakan integriti di tahap yang tinggi. “Pengiktirafan melalui pensijilan ini memberi satu impak yang positif kepada UCYP & KYP untuk terus berkembang dalam sektor pendidikan dengan mengaplikasikan sistem pengurusan kepada pelanggan dengan berkesan dan dapat meningkatkan budaya integriti”.
Menurut Puan Renee Faizura Abdul Rajak, Pegawai Integriti KESB, pengiktirafan yang diterima merupakan usaha keras yang diberikan oleh semua warga kerja UCYP dan KYP dalam memastikan kedua-dua institusi pendidikan ini sentiasa kehadapan dan pada masa yang sama kekal mengaplikasikan garis panduan dan tatacara mencukupi yang telah ditetapkan dengan mengutamakan kualiti dan integiriti dalam perkhidmatan kepada organisasi dan masyarakat.