13 Ogos 2021 – Satu Majlis Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Pengumuman Khas Naib Canselor UCYP telah berlangsung pada Khamis yang lalu dengan kehadiran seramai hampir 300 orang secara dalam talian melalui platform ZOOM. Majlis dihadiri oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, barisan pengurusan tertinggi, kakitangan UCYP dan juga para pelajar.
Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat itu telah dianjurkan oleh Jabatan Sumber Manusia UCYP dan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Azhar bin Jaafar. Dalam majlis yang sama, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin turut berkongsi berita kelulusan penubuhan UCYP sebagai sebuah universiti penuh melalui surat yang bertarikh 6 Ogos 2021 daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua staf dan pelajar UCYP daripada pelbagai peringkat yang bertungkus lumus dalam memastikan usaha ini berhasil dengan cemerlang.
“Ia merupakan satu anugerah yang besar yang telah diberikan oleh Allah SWT agar kami berpeluang menyumbang tenaga dalam mendidik anak bangsa. Peluang ini turut dilihat sebagai usaha bersama ke arah menggerakkan dan merealisasikan agenda pendidikan tinggi ke seluruh rakyat Pahang dan juga rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.
Di samping itu, beliau turut mengumumkan bahawa University College of Yayasan Pahang bakal menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun hadapan.
UCYP terus unggul!
Majlis Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Pengumuman Khas Naib Canselor UCYP. Majlis yang dihadiri oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin itu diadakan secara dalam talian melalui platform ZOOM.
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin, barisan pengurusan tertinggi, kakitangan UCYP dan juga para pelajar meneruskan agenda berikutnya iaitu bacaan Yassin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fared bin Mohd Din selepas pengumuman khas Naib Canselor UCYP.
Sebahagian daripada barisan pentadbiran dan kakitangan UCYP berserta para pelajar UCYP yang menyertai Majlis Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Pengumuman Khas Naib Canselor UCYP
Penulis : Noraznira Bt Muhammed Jamaatthuddin