“The power of education extends beyond borders, creating bridges of understanding and collaboration.” – Malala Yousafzai
Selari dengan misi University College of Yayasan Pahang (UCYP), untuk menjadi antara institusi pendidikan terkemuka di peringkat tempatan dan global, pelbagai usaha dan kerjasama strategik telah dilaksanakan. Antaranya ialah menjalinkan hubungan dua hala dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi dan agensi-agensi di luar negara seperti Indonesia, China, New Zealand dan Bangladesh. Pada 4 Julai 2023, delegasi UCYP yang diketuai oleh Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP serta Profesor Madya Dr. Tan Li Pin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Encik Jalaluddin Bin Abdullah, Pendaftar UCYP, Puan Suhaila Binti Haji Mukhtar, Penolong Naib Canselor (Penjenamaan, Komunikasi & Diplomasi Korporat), Encik Yung Leong Lam, Penolong Naib Canselor (Enrolmen Pelajar & Pejabat Antarabangsa) bersama Encik Wang Ji, selaku rakan strategik UCYP telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB), Kedutaan Besar Malaysia, Beijing, China.
Kunjungan hormat ke Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB) yang terletak di Chaoyang, Beijing telah disambut baik oleh Yang Berbahagia Encik Muhammad Sallehuddin bin Mohd Dilif, Pengarah Education Malaysia Beijing (EMB). Menerusi lawatan ini, pelbagai ruang kerjasama telah dikenalpasti dalam menjadikan UCYP antara hub pendidikan bagi pelajar China yang ingin menyambung pengajian ke Malaysia. Pendekatan ini merupakan antara inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China, bagi mengembangkan potensi pelajar melalui program pertukaran dan mobiliti di peringkat antarabangsa. UCYP telah menerima lebih daripada 80 orang pelajar dari Negara China untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di UCYP sama ada di peringkat siswazah atau pascasiswazah.
Selain itu, UCYP turut menyatakan hasrat untuk melaksanakan persidangan antarabangsa menerusi Malaysia-China Higher Education Summit (MCHES) 2023. Persidangan yang bertemakan “Strengthening Higher Education Friendship; Exploring the Future Policy and System” merupakan antara usaha UCYP dalam mengukuhkan dan mengeratkan hubungan dua hala bersama Pejabat Education Malaysia Beijing serta membuka lebih banyak peluang kerjasama antara institusi pendidikan di seluruh dunia khususnya melalui bidang penyelidikan dan inovasi.
Di samping itu, turut dibincangkan peluang mendapatkan geran penyelidikan serta strategi terbaik dalam memperkenalkan program-program yang ditawarkan di UCYP kepada para pelajar di China. Harapan turut dizahirkan melalui kerjasama strategik ini, lebih banyak penglibatan dan penyertaan institusi pengajian tinggi di China terhadap siri konferens yang dianjurkan oleh pihak UCYP Malaysia. Semoga pertemuan ini memberi manfaat yang besar bukan sahaja untuk UCYP Malaysia dan Pejabat Education Malaysia Beijing, namun turut memberi impak positif terhadap perkembangan sistem pendidikan negara.
Sesi pertemuan dan diskusi bersama dengan Yang Berbahagia Encik Muhammad Sallehuddin Bin Mohd Dilif, Pengarah Education Malaysia Beijing.
Sesi bergambar bersama delegasi UCYP dalam kunjung hormat ke Pejabat Education Malaysia Beijing