Pada 22 September 2023, UCYP di bawah Pahang Ecology Research Centre (PERC) dengan kerjasama SWCorp Pahang telah berjaya mengadakan Majlis Pelancaran Eco-Green Policies peringkat KESB, UCYP & KYP. Majlis yang bermakna ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Diplomasi Komuniti), Profesor Madya Dr. Azhar bin Jaafar@Ramli yang menjalankan fungsi Naib Canselor, serta turut dihadiri oleh Puan Hajidah binti Md Noh, Timbalan Pengarah Pengurusan SWCorp Pahang, Encik Ahsraff bin Kaharudin, Penolong Pengarah SWCorp Pahang, serta diiringi oleh barisan pengurusan tertinggi KESB, UCYP & KYP, bersama dengan staf dan pelajar.
World Cleanup Day (WCD) merupakan program tahunan peringkat global yang dilaksanakan oleh SWCorp di Malaysia. Justeru KESB / UCYP / KYP bekerjasama untuk mengadakan Sambutan World Cleanup Day 2023 bersekali dengan Pelancaran Eco-Green Policies juga sebagai salah satu Aktiviti Bersempena bagi Istiadat Konvokesyen 2023 UCYP dan KYP. Penganjuran ini mencerminkan komitmen UCYP dan KYP dalam menjalankan tanggungjawab sosial untuk menjaga alam sekitar. Ianya turut merupakan antara inisiatif terkini dari Pejabat Timbalan Naib Canselor, Pembangunan Infrastruktur dan Aset, yang diketuai oleh Puan Hajah Rugayah binti Hussein. Idea penghasilan Eco-Green Policies bagi KESB / UCYP / KYP telah dirangka pada bulan Mei 2023 lalu, melalui penyediaan beberapa kempen seperti Eco-Care: Empowering a Greener Future yang akan dijalankan bersandarkan elemen-elemen dari Strategi Pengurusan Hijau.
Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai 710 pelajar dan staf dari UCYP dan KYP, yang sepakat dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar. Objektif penganjurannya adalah untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dan sukarelawan dalam aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa. Ini adalah satu langkah positif dalam menunaikan inisiatif kerajaan untuk menerapkan nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam setiap pelaksanaan dan pengoperasian syarikat. Pelbagai pengisian yang telah diatur antaranya, Pelancaran Eco Green Policies, taklimat kepada sukarelawan mengenai aktiviti gotong-royong, pembahagian zon dan kumpulan serta taklimat keselamatan untuk memastikan semua peserta mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan sepanjang program berlangsung. Majlis turut dimeriahkan dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh ECE Fitness Club UCYP.
Aktiviti gotong-royong telah dibahagikan kepada 6 zon, iaitu kawasan kampus UCYP dan kawasan sekitar yang berkaitan. Dalam tempoh ini, hampir 1.2 tan sampah telah berjaya dikumpulkan. Selain daripada itu, turut diadakan aktiviti “Trash to Cash” yang bertujuan untuk menggalakkan kesedaran mengenai kitar semula. Para peserta digalakkan untuk menjual barang-barang yang boleh dikitar semula bagi mengurangkan pembaziran, pencemaran dan mendorong amalan yang lebih lestari.
Program ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam perjalanan panjang menuju kelestarian alam sekitar dan ianya turut sejajar dengan perancangan KESB / UCYP / KYP untuk menyertai UI Greenmetric World University Ranking, iaitu sistem penarafan universiti dunia pertama yang memberi penekanan kepada kelestarian kampus. Semoga melalui kejayaan program ini menjadi contoh yang baik untuk diikuti oleh institusi-institusi pendidikan dan komuniti setempat. Diharapkan juga usaha ini akan diteruskan untuk mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan lestari untuk generasi akan datang.
Majlis Pelancaran Eco-Green Policies peringkat KESB, UCYP & KYP dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Diplomasi Komuniti), Profesor Madya Dr. Azhar bin Jaafar@Ramli yang menjalankan fungsi Naib Canselor
Taklimat & senamrobik persediaan sebelum acara gotong-royong
Sekitar aktiviti gotong-royong dan pengasingan sampah