Majlis Perasmian Penutup Kursus Kepimpinan Young Statesmen Program (YSP) 2023 yang berlangsung pada 05 November 2023 yang lalu di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), mencatatkan kehadiran hampir 200 tetamu. Jemputan adalah terdiri daripada Ahli Dewan Negeri Pahang, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengelola UCYP, pegawai-pegawai Daerah, wakil-wakil kepimpinan institusi pengajian tinggi dan belia. Majlis yang penuh bersejarah ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri (Dr.) Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan turut mengiringi adalah Yang Hormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd serta Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP.
Kursus kepimpinan ini merupakan inisiatif strategik yang telah dibangunkan oleh TGS-ISL yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri Pahang untuk melatih bakal pemimpin muda. Para peserta yang terpilih terdiri daripada protege Dewan Negeri Pahang serta Majlis Perwakilan Pelajar UCYP yang dilihat berpotensi menjadi tulang belakang dalam pembangunan dan kemajuan negeri kini dan akan datang. Melalui pembangunan lima modul utama iaitu Integriti, Teknologi, Polisi Awam, Diplomasi Komuniti serta modul khas Fiqh al Watan (Tatacara Kehidupan Bertanah Air) diharapkan protege YSP 2023 mampu menjadi pemimpin yang berkualiti dan berkaliber serta menyumbang kepada komuniti dan masyarakat.
Sepanjang kursus selama 3 bulan ini, protege tidak hanya didedahkan kepada aspek kepimpinan, malah diberi penekanan terhadap nilai-nilai integriti. Penyampaian kandungan bagi setiap modul diharapkan dapat memberi pengalaman yang berharga kepada peserta di samping menyemai ilmu kepimpinan dengan nilai etika dan tanggungjawab. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Pahang untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang bukan sahaja berkualiti, berintegriti tetapi juga memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri (Dr.) Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail dalam ucapan beliau menekankan bahawa cabaran sebagai pemimpin adalah berbeza mengikut zaman. Pemimpin muda harus peka dengan keperluan semasa dan berusaha mengubah kekangan menjadi sebagai satu peluang. Tidak harus dilupa adalah para pemimpin terdahulu yang telah lama ‘makan asam garam’. Perjalanan yang dilalui oleh pemimpin terdahulu harus dikaji dan dijadikan panduan.
Sementara itu, Yang Hormat Pengerusi KYP Education Sdn. Berhad, Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, menyatakan hasrat beliau agar program YSP ini menjadi inspirasi kepada setiap protege dalam usaha mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai agen perubahan dalam komuniti dan masyarakat.
Menurut Pengarah TGS-ISL, Puan Suhaila Hj. Mukhtar, YSP adalah inisiatif yang signifikan dalam membentuk kepimpinan strategik pemimpin muda masa kini. Ikrar yang dilafaz oleh protege YSP adalah misi yang bakal direalisasikan. Protege YSP berazam untuk mempraktikkan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan serta menjadi golongan belia pertama yang membawa perubahan positif kepada masyarakat, negeri dan negara.
Pihak TGS-ISL turut meraikan kesemua protege yang telah berjaya membentangkan hasil Tugasan Komuniti. Pembentangan kumpulan YBB’s Problem dengan tajuk “Mewujudkan Sektor Eko-Pelancongan Warisan Negeri Pahang” telah dinobatkan sebagai pembentangan yang terbaik. Sementara Saudara Shazrul Azlan Azraf bin Abdul Rahman daripada Parlimen N36 Pelangai, telah diangkat sebagai Protege Terbaik YSP 2023.
Semoga Young Statesmen Programme 2023 dijadikan penanda aras untuk kursus kepimpinan yang lebih berkualiti di masa hadapan. Tahniah kepada semua peserta yang berjaya mengikuti kursus dengan penuh semangat dan dedikasi!
Ucapan Perasmian Penutup Young Statesmen Programme 2023 oleh YAB Menteri Besar Pahang;
Dato’ Sri (Dr.) Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan ucapan aluan YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin,
Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd.
Gimik perasmian penutup Young Statesmen Programme 2023 oleh YAB Menteri Besar Pahang
Penyampaian sijil penghargaan kepada barisan penceramah modul
Young Statesmen Programme 2023
Kanan: Penyampaian Anugerah Protege Terbaik YSP 2023, N36 Pelangai; Shazrul Azlan Azraf bin Abdul Rahman
Kiri: YBB’s Problem dinobat sebagai Kumpulan Pembentang Tugasan Komuniti Terbaik; “Mewujudkan sektor Eko-Pelancongan Warisan Negeri Pahang”
Sekitar Majlis Perasmian Penutup Young Statesmen Programme 2023