UCYP University terus mengorak langkah dalam memperkukuh hubungan akademik dan kerjasama pendidikan di peringkat antarabangsa melalui lawatan rasmi ke Jepun pada 22-24 Januari 2025. Delegasi UCYP University yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University, telah mengadakan pertemuan dengan beberapa institusi pendidikan dan syarikat utama bagi meneroka peluang kerjasama strategik yang dapat memberi manfaat kepada pelajar dan tenaga akademik UCYP University.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan jaringan pendidikan antarabangsa, delegasi UCYP University telah mengunjungi Hakuho Girls High School, Yokohama High School, Docomo High School, dan Shotoku Gakuen Senior High School. Lawatan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan potensi pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, selain meneroka pendekatan inovatif dalam sistem pendidikan yang dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar.

Di Hakuho Girls High School, perbincangan tertumpu kepada pembangunan kepimpinan dalam kalangan pelajar wanita, manakala kunjungan di Yokohama High School, pihak delegasi meneliti pendekatan komprehensif dalam sistem pendidikan Jepun, termasuk penekanan terhadap pembelajaran berasaskan projek dan penerapan teknologi dalam bilik darjah.

Seterusnya kunjungan di Docomo High School pula, memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi terkini dalam pembelajaran, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran digital yang semakin berkembang dalam sistem pendidikan global. Sepertimana yang diketahui negara Jepun amat dikenali dengan tahap disiplin dan etika yang tinggi dan ini dapat dilihat menerusi kunjungan ke Shotoku Gakuen Senior High School.

Selain lawatan ke pusat pembelajaran, delegasi UCYP University turut berpeluang melawat Sankei Human Learning Co. Ltd., sebuah organisasi berpengaruh dalam bidang latihan dan pembangunan sumber manusia. Pertemuan ini membuka ruang bagi perkongsian pengalaman dalam metodologi pembelajaran, latihan vokasional, serta pembangunan modal insan yang lebih efektif dan berdaya saing di peringkat global. Mereka turut berkongsi kepakaran dalam teknik latihan industri, program pembangunan kepimpinan, dan strategi peningkatan kemahiran tenaga kerja yang dapat memberikan inspirasi kepada UCYP University dalam memperkukuh kurikulum dan program latihan universiti.

Lawatan ke Jepun ini juga turut merangkumi sesi perbincangan dengan Affinity Co. Ltd., sebuah syarikat yang aktif dalam sektor pendidikan dan teknologi. Fokus utama perbincangan adalah mengenai kerjasama dalam penyelidikan serta pembangunan teknologi pendidikan yang dapat digunakan oleh tenaga pengajar dan pelajar universiti bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Affinity Co. Ltd. juga berkongsi amalan terbaik mereka dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data dalam sistem pendidikan, serta pembangunan platform pembelajaran digital yang lebih interaktif dan berkesan.

Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik antarabangsa UCYP University, malah memperkukuh komitmen universiti dalam menerapkan amalan terbaik dari sistem pendidikan global. Dengan jalinan strategik yang telah dibentuk, universiti yakin dapat menyediakan platform pembelajaran yang lebih dinamik dan inovatif kepada pelajarnya, sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan global semasa.

[vc_empty_space]
[vc_single_image image=”25273″ img_size=”full”]

Lawatan ke beberapa institusi

[vc_single_image image=”25276″ img_size=”full”]

Lawatan ke Sankei Human Learning Co. Ltd. di Tokyo

[vc_single_image image=”25279″ img_size=”full”]

Perbincangan bersama Affinity Co. Ltd di Tokyo