Pada 15 Februari 2025, seramai 15 sukarelawan daripada Persatuan Pembimbing Rakan Siswa (PERSISWA) UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang telah menyertai Program Menanam Pokok Bakau Bersama Komuniti Setempat yang berlangsung di Ecoswed Setiu Wetlands, Terengganu.
Dalam program ini, sebanyak 1,000 anak pokok bakau berjaya ditanam sebagai usaha memulihara kawasan pesisir dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pelajar tetapi juga meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap ekosistem semula jadi.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Aeon Credit Service (M) Berhad, yang menjemput para peserta untuk bersama-sama menjayakan inisiatif kelestarian ini. Turut sama menyumbang tenaga ialah Cik Nurafisha Aliya binti Ilias dari Unit Hal Ehwal Pelajar Kolej Yayasan Pahang.
Sebagai sebuah institusi yang komited dalam membentuk generasi yang prihatin terhadap alam sekitar, UCYP University terus menyokong inisiatif sebegini bagi memperkukuh kesedaran dan pemuliharaan alam dalam kalangan mahasiswa. Diharapkan lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang agar manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh. Dengan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial yang tinggi, usaha ini pasti akan memberi impak yang berpanjangan kepada kelestarian alam dan kehidupan sejagat.
Sorotan sepanjang Program Menanam Pokok Bakau bersama Komuniti Setempat, Ecoswed Setiu Wetlands, Terengganu