UCYP University melalui Akademi Rel Pahang (ARP) terus mengorak langkah dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi apabila seramai 9 orang pelatih telah menerima surat tawaran bagi mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) ke Liuzhou, China.

Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL telah diadakan pada 6 Mei 2025 bertempat di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Majlis ini dianjurkan oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), rakan strategik ARP, dan disempurnakan oleh YAB. Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Majlis ini turut memberi makna kepada para pelatih ARP apabila pencapaian mereka diraikan dengan kehadiran barisan pengurusan institusi. Antara yang hadir ialah YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd.; YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University; YBhg. Puan Norsazlina binti Che Ghazali, Pengurus Besar KYP Education Sdn. Bhd.; serta YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University. Penganjuran majlis ini dilihat menjadi simbol komitmen nasional terhadap usaha memperkasakan generasi muda melalui program latihan berimpak tinggi dalam sektor pengangkutan rel, khususnya bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Program PLKI-ECRL ini merupakan hasil kerjasama erat antara UCYP University dan rakan industrinya iaitu MRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC) dan LRVTC, serta disokong oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang. Inisiatif ini juga selaras dengan agenda memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penyediaan tenaga kerja mahir selaras dengan keperluan semasa industri rel negara.

Sebagai susulan kepada majlis peluncuran tersebut, pada 19 Mei 2025, seramai 9 orang pelatih ARP ini telah berlepas ke Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China untuk menjalani latihan intensif selama satu tahun. Latihan ini akan memberi pendedahan praktikal secara langsung kepada operasi industri rel moden sekaligus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dalam industri strategik ini.

Penghantaran para pelatih ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut diiringi oleh Penolong Profesor Ts. Dr. Mohd Hamisa bin Abdul Hamid, Timbalan Naib Canselor (Akademik), serta Ts. Muhamad Syafiq bin Ahmad, Pengarah Akademi Rel Pahang. Kehadiran barisan pengurusan kanan ini memberi suntikan semangat kepada pelatih yang akan menjadi duta universiti dalam bidang rel di peringkat antarabangsa.

UCYP University berbangga menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pembangunan sumber manusia negara. Semoga kesemua pelatih ARP yang terpilih dapat menimba pengalaman dan kemahiran yang bernilai, seterusnya menyumbang kembali kepada pembangunan negeri dan negara dalam bidang rel yang kian berkembang pesat.

Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL oleh YAB. Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia kepada wakil pelatih Akademi Rel Pahang, UCYP University

Sorotan Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL

Pelatih Akademi Rel Pahang berlepas ke Liuzhou, China bagi menjalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC)

Leave a Reply