Sebagai salah satu inisiatif dalam Program Mobiliti Antarabangsa Outbound UCYP University, FEBI-UINMY Edu Tour Camp 2025 telah membuka peluang berharga kepada lapan (8) orang mahasiswa UCYP University untuk menyertai program pertukaran selama 14 hari di Sumatera Barat, Indonesia. Turut disertai oleh empat (4) mahasiswa dari Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Yala (UINMY), Thailand, program ini berlangsung dari 21 April hingga 3 Mei 2025 dan diketuai oleh Puan Nur Amani binti Ibrahim, Pengurus Pusat Perhubungan Siswa (CforSE), UCYP University.
Program ini memberi fokus kepada pengembangan ilmu, interaksi budaya serta pembinaan sahsiah pelajar dalam suasana antarabangsa. Sepanjang pelaksanaan program, peserta terlibat dalam pelbagai pengisian termasuk khidmat komuniti bersama organisasi dan institusi tempatan, lawatan hormat ke pentadbiran dan fakulti di UIN Imam Bonjol Padang, serta sesi bengkel pembangunan diri yang menyentuh aspek penulisan saintifik, keusahawanan digital dan pengenalan bahasa asing. Peserta turut dibawa menelusuri keindahan warisan budaya Minangkabau menerusi lawatan ilmiah ke lokasi-lokasi seperti Pagaruyung, Bukit Tinggi dan Tanah Datar.
Penyertaan program ini secara langsung memperkayakan perspektif mahasiswa terhadap kerjasama pendidikan rentas sempadan, membentuk kematangan pemikiran global dan memupuk semangat keterangkuman budaya dalam kalangan generasi muda UCYP University.





Sepanjang Program Mobiliti Antarabangsa Outbound UCYP University, FEBI-UINMY Edu Tour Camp 2025