Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd., Yayasan Tuanku Canselor UCYP dan Kelab Warga Kerja IKIP Sumbang 600 Bubur Lambuk di Bulan Ramadhan
Dalam suasana menyambut bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd. melalui Yayasan Tuanku Canselor UCYP (YTC UCYP) dan Kumpulan Warga Kerja IKIP (KWKI) telah bekerjasama bagi menyediakan 600 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada para pelajar dan staf UCYP dan KYP. Agihan ini bertujuan untuk berkongsi kesyukuran dan keberkatan bulan Ramadhan dengan warga kampus serta memupuk semangat kebersamaan di kalangan staf dan pelajar.
Sebagai syarikat pengeluar dan pengedar makanan terkemuka di Malaysia, yang juga aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat, Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd. telah berbesar hati menjadi penaja utama program ini yang diadakan pada 06 April 2023 bertempat di Kampus Utama, University College of Yayasan Pahang. Meskipun berdepan cuaca panas di bulan Ramadhan, ianya tidak mematahkan semangat para sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja ADABI, serta sukarelawan yang dilantik oleh YTC UCYP dan KWKI, untuk saling bergotong royong menyediakan hidangan berkenaan. Bermula dengan proses menyediakan bahan mentah serta pembungkusan dan pengagihan, proses ini dilakukan secara gotong royong oleh sukarelawan yang terlibat. Turut bersama-sama dalam proses menyediakan sumbangan bubur lambuk ini ialah Encik Abdul Rahim Mohd Nor, Pengurus Besar Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd. serta Tuan Haji Ahmad Fared Mohd Din, Pengarah Yayasan Tuanku Canselor, UCYP.
Sesi agihan bubur lambuk ini bermula pada jam 3.30 petang, yang dihadiri oleh para pelajar UCYP dan KYP. Sebanyak 600 bekas bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan dalam tempoh satu jam. Pihak penganjur juga turut memperkenalkan kaedah pandu lalu kepada staf bagi melancarkan proses agihan sumbangan ini. Turut hadir dalam sesi agihan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Diplomasi Komuniti), Profesor Madya Dr Azhar Bin Jaafar@Ramli.
Sumbangan bubur lambuk yang disediakan oleh Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd. menjadi satu inisiatif yang sangat bermakna dalam menyambut bulan Ramadhan. Melalui kerjasama antara Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd., Yayasan Tuanku Canselor UCYP dan Kelab Warga Kerja IKIP, sumbangan ini telah memberi manfaat kepada kakitangan dan pelajar universiti, serta golongan yang memerlukan. Para pelajar dan staf menzahirkan rasa kesyukuran di atas kesudian pihak penganjur untuk bersama-sama dalam sesi memasak dan agihan ini. Semoga inisiatif seperti ini akan terus dijalankan dan dapat memberikan manfaat kepada semua pihak, serta memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap warga UCYP dan KYP.
Suasana sekitar proses awal menyediakan bubur lambuk oleh pihak Adabi Distributions Kuantan Sdn. Bhd., YTC UCYP & KWKI
Sesi memasak dan membungkus bubur lambuk
Sesi agihan bubur lambuk di perkarangan UCYP kepada para pelajar UCYP dan KYP