8 Jun 2021 – Satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UCYP dan Malaysia Robotics & Automation Society (MyRAS) telah diadakan secara atas talian pada hari ini.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin, Presiden MyRAS Dr. Ishkandar Baharin, Ketua Setiausaha MyRAS, En. Ragunathan Kuppusamy, Timbalan Presiden Akademia Ts. Dr. Mohd Azizi Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Eksekutif MyRAS, En. Max Ong Chong Hup dan Dr. Syafiq Fauzi Kamarulzaman, barisan Pengurusan Tertinggi UCYP serta para dekan UCYP.

Memorandum persefahaman (MoU) tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dan Presiden MyRAS Dr. Ishkandar Baharin. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Pemajuan Akademik & Kualiti) Profesor Madya Ts Dr. Hafizan Mat Som dan Setiausaha Agung MyRAS, En. Ragunathan Kuppusamy, bertindak sebagai saksi bagi institusi-institusi tersebut.

Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr, Ahmad Haji Zainuddin, kerjasama yang dimeterai oleh UCYP dan MyRAS ini bakal menjadikan UCYP sebagai sebuah pejabat satelit yang akan berfungsi untuk mengembangkan bidang robotik dan automasi melalui penawaran kursus-kursus jangka pendek dan sijil profesional. yang akan memberikan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat melalui program pendidikan.

“Objektif utama kolaborasi ini adalah untuk mempromosikan kerjasama antara MyRAS dan UCYP dengan mewujudkan sebuah Pejabat Satelit MyRAS-UCYP di wilayah Pantai Timur, ia sekaligus membuka peluang kepada UCYP untuk memenuhi keperluan latihan mahupun perundingan dalam bidang automasi kepada pemain industri Malaysia dan pelbagai negara ASEAN termasuk Filipina, Vietnam dan Thailand”.

“Kerjasama yang dimeterai ini merupakan sebahagian daripada proses pembangunan UCYP bagi menuju ke status sebuah universiti penuh menjelang tahun 2023. Dengan kerjasama ini juga, UCYP bukan sahaja mampu untuk melangkah ke hadapan bagi kesejahteraan masyarakat, negeri dan negara tetapi mampu menerajui industri AI bersama MyRAS.”, tambah beliau lagi ketika menyampaikan ucapan di hadapan tetamu yang hadir secara atas talian.

Dalam pada itu, Presiden MyRAS Dr. Ishkandar Baharin berkata, kerjasama yang dijalinkan menerusi MoU ini bakal meletakkan UCYP sebagai jenama global dalam bidang robotik dan AI atau artificial intelligence (kecerdasan buatan).

“Malahan, UCYP juga mampu memainkan peranan bersama dengan MyRAS untuk menyediakan kandungan program yang berkualiti demi melahirkan golongan berkemahiran teknikal yang sangat diperlukan oleh industri dalam negara kita bagi mencapai produktiviti serta mampu berdaya saing dalam kemajuan teknologi yang serba pantas”, jelas Dr. Ishkandar Baharin.

Antara objektif UCYP MoU ini adalah:

  1. 1- Bekerjasama dan mewujudkan Pejabat Satelit MyRAS-UCYP.
  2. 2- Mengenal pasti peluang kerjasama antara MyRAS dan UCYP, dan rakan usahasama yang lain dengan tidak menghadkan kepada sektor perniagaan, teknologi dan pembangunan modal insan.
  3. 3- Berkongsi pengetahuan dan pengalaman melalui aktiviti peningkatan keupayaan.
  4. 4- Berkongsi pengetahuan dan kepakaran untuk perkembangan teknologi dan pengkomersialan.
  5. 5- Berkongsi idea dan maklumat mengenai perkembangan syarikat yang mengambil bahagian dalam program yang ditubuhkan oleh Pusat Satelit.

Menurut Dekan Fakulti Sains, Kejuruteraan dan Agroteknologi, Puan Ainul Hayati Yunus, perbincangan lanjut bersama MyRAS akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan Pusat Satelit MyRAS-UCYP ini dijangka akan memulakan operasinya seawal Julai 2021.

[vc_single_image image=”14586″ img_size=”full”]

Sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UCYP dan Malaysia Robotics & Automation Society (MyRAS) oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin dan Presiden MyRAS Dr. Ishkandar Baharin, Timbalan Naib Canselor (Pemajuan Akademik & Kualiti) Profesor Madya Ts. Dr. Hafizan Mat Som dan Ragunathan Kuppusamy, Ketua Setiausaha MyRAS sebagai saksi. Turut hadir sama secara atas talian adalah Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur.

[vc_single_image image=”14583″ img_size=”full”]
[vc_single_image image=”14577″ img_size=”full”]

Antara jemputan di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UCYP dan Malaysia Robotics & Automation Society (MyRAS) menerusi platform Zoom.

[vc_single_image image=”14580″ img_size=”full”]