Program FESTRAVAGANZA 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Mei 2025 di Kampus Utama UCYP University. Program ini merupakan inisiatif akademik yang dilaksanakan oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (BCE) dan Ijazah Sarjana Muda Seni Visual dalam Reka Bentuk Kreatif (BVA) sebagai sebahagian daripada penilaian kursus BLB 1723 dan BLB 1622 (English for Social Communication).
Program ini dirangka bagi memupuk penguasaan bahasa Inggeris melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan, selain memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran komunikasi, pengurusan dan kerja berpasukan secara menyeluruh.
Antara pengisian menarik sepanjang FESTRAVAGANZA 2025 termasuklah pertandingan nyanyian, persembahan pakaian beragam, fun walk, pameran kreatif, sesi Zumba, festival makanan, serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa. Setiap aktiviti dirancang untuk menggalakkan pelajar menggunakan bahasa Inggeris dalam situasi sebenar dan lebih santai.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penolong Profesor Ts. Dr. Mohd Hamisa bin Abdul Hamid, Timbalan Naib Canselor (Akademik), UCYP University. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar dan pensyarah yang telah menjayakan program ini dengan penuh dedikasi. Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris sebagai kemahiran utama yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri.
Turut hadir ialah Puan Rozita binti Jusoh, Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Am (FEGS) yang turut menyatakan sokongan dan komitmen fakulti dalam memperkasa pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
FESTRAVAGANZA 2025 berjaya mencapai objektifnya sebagai satu platform pembelajaran yang lebih terbuka dan menarik, di samping merapatkan hubungan antara warga universiti dalam suasana yang harmoni dan inklusif. Program ini juga memperkukuh usaha UCYP University dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah berkemahiran dalam komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.











Sorotan sepanjang program Festravaganza 2025