“Study the science of art, study the art of science. Develop your senses- especially learn how to see. Realize that everything connects to everything else” -Leonardo Da Vinci-
Secara zahirnya, Sains dan Seni merupakan dua bidang ilmu yang berbeza. Namun tanpa kita sedar intipati dalam kedua-duanya saling berhubung. Dengan inisiatif untuk merapatkan jurang yang semakin melebar antara kedua-dua bidang tersebut, Fakulti Seni Kreatif, University College of Yayasan Pahang (UCYP) telah menganjurkan International Conference on Art, Culture & Heritage (ICACH) buat kali yang kedua. Art & Science: A Collaborative Initiative For Creative Solution, konferens ini turut mendapat kerjasama institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Antaranya ialah Universitas Trisakti, Indonesia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak. Konferens ini telah diadakan pada 27 Disember 2022. Konferens kali ini telah berjaya menampilkan cendekiawan dan ilmuan-ilmuan hebat dari dalam dan luar negara. Para penyelidik dan pelajar dari institusi pengajian tinggi turut diberi peluang untuk bersama-sama dalam konferens antarabangsa ini. ICACH’22 kali ini telah berjaya mengumpulkan hampir 20 dapatan pembentangan yang bertepatan dengan tema pada tahun ini.
Konferens telah dimulakan menerusi ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor, UCYP. Ia turut menampilkan beberapa pengucaptama antaranya ialah, Profesor Madya Dr. Yelena Gluzman dari Department of Art and Design, University of Alberta, Canada yang membentangkan hasil penyelidikan beliau yang bertajuk “Art Therapy Through The Science Process”. Penyelidikan beliau antara yang mendapat perhatian pada sesi kali ini. Selain itu, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Bin Ibrahim, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak turut membentangkan hasil kajian “Creative Design Sustainability Practices During Pandemic Era”. Selain itu, Profesor Madya Dr Hasnul Jamal Saidon, Pengarah, Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Profesor Dr. Wegig Murnogroho, Pensyarah di Department of Visual Communication, Faculty of Art & Design, Universitas Trisakti, Indonesia turut menyertai selaku penceramah jemputan.
Sesi pembentangan yang berlangsung selama hampir 8 jam ini telah menampilkan 4 kategori anugerah pembentang terbaik iaitu Anugerah Platinum, Anugerah Emas dan Anugerah Perak. ICACH’22 turut memperkenalkan Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Penyelidik Muda. Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Platinum berjaya dirangkul oleh Ts Siti Noraisyah Binti Abd Rahman dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (ASWARA), Malaysia dengan hasil kajian yang bertajuk “Makyung in Metaverse: Issues and Challenges of Delivering Performing Arts Education in The Virtual Worlds”. Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Emas pula dianugerahkan kepada Dr Fauzan Mustaffa dari Multimedia Universiti (MMU), Malaysia dengan tajuk kajiannya “A Case of Geo-Position of The Grand Mosque of Melaka Sultanate”. Seterusnya Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Perak pula disandang oleh Encik Ku Ahmad Adzam Bin Ku Saud juga dari Multimedia University (MMU), Malaysia dengan tajuk kajiannya “A Study of Tap Water Lure Design for Local Freshwater Fish Species ‘Sebarau-Hampala Macrolepidota’: An Implication Research Knowledge Supported by Design Process”. Bagi Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Penyelidik Muda telah dianugerahkan kepada Cik Nurfatin Amira Binti Sudin dan Encik Muhammad Amirul Adli Bin Faizalairi dari UCYP.
UCYP menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan kerjasama dari seluruh rakan kerjasama atas kejayaan merealisasikan 2nd International Conference of Art, Culture & Heritage bagi sesi kali ini. Diharapkan konferens ini dapat menyumbang sedikit sebanyak kepada aspek pembangunan ilmu yang lebih komprehensif khususnya dalam bidang Seni dan Sains serta dapat memberi manfaat yang besar buat dunia akademik.
Ditulis oleh : Nor Atiqah Binti Sukri
Sekitar Majlis Pembukaan 2nd International Conference on Art, Culture & Heritage
(ICACH) bagi tahun 2022
Penerima Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Platinum
Penerima Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Emas
Penerima Anugerah Pembentang Terbaik Kategori Perak
Barisan Moderator dan Pengucaptama pada
2nd International Conference on Art, Culture & Heritage (ICACH) 2022
Pembentang-pembentang yang terlibat dalam
2nd International Conference on Art, Culture & Heritage (ICACH) 2022