Pada 22 dan 23 November yang lalu, telah berlangsungnya 3rd International Conference on Education (ICEd) dan 9th International Conference on Language and Education (ICLE) anjuran Fakulti Pendidikan dan Pengajian Bahasa, UCYP bertempat di Kampus Utama UCYP, Kuantan, Pahang, Malaysia. Tahun ini, UCYP berkolaborasi dengan Association of Language Teachers in Southeast Asia (ALTSA) sebagai langkah proaktif membina lebih banyak jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
ICEd ke-3 dan ICLE ke-9 ini tidak hanya unik kerana kepelbagaian pesertanya, tetapi juga dengan format hibrid yang membolehkan 200 orang peserta terlibat secara fizikal dan dalam talian. Suasana persidangan antarabangsa terserlah dengan kehadiran para pembentang dan peserta dari Indonesia, Thailand, Brunei, Pakistan, Singapura, dan Malaysia sebagai tuan rumah.
Tema “Pendidikan dan Bahasa untuk Pembangunan Mampan: Tanggungjawab Sosial dan Global (Education and Language for Sustainable Development: Social Responsibility and Global Citizenship),” menetapkan mod perbincangan yang menyelami isu penting berkaitan pendidikan dan bahasa. Di samping itu, wujud keperluan mendesak untuk mengenalpasti strategi untuk pembangunan mampan. Dalam hal ini, pendidikan berperanan membentuk masyarakat dengan nilai tanggungjawab sosial bukan sahaja di peringkat lokal malah global.
Perasmian penutup persidangan antarabangsa tersebut telah dihadiri oleh EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, dan Pendidikan, Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd. Razak yang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail. Dalam ucapannya, beliau berpendapat bahawa landskap pendidikan pada hari ini menitikberatkan pendekatan holistik yang merangkumi kelestarian, bahasa, dan tanggungjawab sosial. Oleh itu, institusi pendidikan diharapkan dapat memperluaskan kurikulum mereka, sementara warganegara digalakkan untuk secara aktif terlibat dalam menyumbang ke arah pembangunan mampan, memupuk nilai tanggungjawab sosial, dan pemikiran global.
Sementara itu, Naib Canselor UCYP, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd. Zain menjelaskan bahawa pembangunan mampan memerlukan tiga elemen penting iaitu kreativiti, kualiti dan integriti (Creativity, Quality and Integrity – CQI). CQI bertujuan untuk memupuk budaya yang mengutamakan inovasi, kecemerlangan, dan tingkah laku beretika. Pembudayaan prinsip tersebut dapat memberi impak kepada persekitaran yang lebih positif, produktif dan mampan.
Persidangan ICEd ke-3 dan ICLE ke-9 turut mengiktiraf hasil kajian para pembentang yang berjaya mengetengahkan isu penting di samping menampilkan dapatan kajian yang berkualiti.
Husnul Khatimah Nur, dari Universitas Hasanuddin, Indonesia, dianugerahkan Anugerah Gangsa atas penyelidikannya tentang “Understanding the Use of Hedging in Academic Writing: A Comparative Analysis.” Kajian beliau menyelami ranah halus penulisan akademik dan menawarkan analisis perbandingan yang menarik.
Dr. Ista Maharsi, yang mewakili Universitas Islam Indonesia, menerima Anugerah Perak untuk penyelidikannya, “Photovoice: Moslem Identity Construction and Negotiation of Medical Students in an English Course.” Eksplorasinya adalah tentang pembinaan identiti dan perundingan dalam konteks kursus Bahasa Inggeris selaras dengan tema utama persidangan.
Sementara Anugerah Emas, diberikan kepada Thanatcha Ngamchatturat dari Suranee University of Technology, Thailand. Penyelidikannya, bertajuk ” Students’ Learning Strategies in English-Medium Instruction Courses: A Case Study of Thai EFL Context,” menyediakan pandangan berharga tentang strategi pembelajaran yang digunakan oleh pelajar dalam konteks pengajaran dalam bahasa Inggeris di Thailand.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang, Tourism Malaysia, YP Plantation Holdings, dan YP Land atas sumbangan yang diberi bagi menjayakan persidangan antarabangsa ini. Semoga sokongan seperti ini dapat menghasilkan lebih banyak wacana intelektual yang berkualiti.
Tahniah diucapkan kepada barisan sekretariat dan ahli jawatankuasa ICEd dan ICLE atas kerjasama dan komitmen yang diberi. Hasil persidangan antarabangsa kali ini diharap menyumbang ke arah masyarakat dunia dengan nilai tanggungjawab sosial bagi memastikan pembangunan mampan pendidikan dan bahasa.
Ucapan Pembukaan oleh YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University
Hari Pertama – Sekitar 3rd International Conference on Education (ICEd) & 9th International Conference on Language and Education (ICLE)
Ucapan Perasmian Penutup oleh YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang merupakan wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang
Penyampaian cenderamata kepada Professor Dr. Amrin Saragih, selaku penganjur bersama 3rd International Conference on Education (ICEd) & 9th International Conference on Language and Education (ICLE)
Hari Kedua – Sekitar 3rd International Conference on Education (ICEd) & 9th International Conference on Language and Education (ICLE)