Program Interaksi Bersama Pembina Masa Depan Negara, anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama UCYP University, telah berlangsung dengan jayanya pada 3 Jun 2025 di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang. Inisiatif ini disasarkan kepada mahasiswa UCYP University yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan objektif utama untuk memperkasa pemahaman terhadap peranan bank pusat negara serta meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda.
Antara pengisian penting dalam program ini termasuk sesi penerangan yang disampaikan oleh YBhg. Tuan Adnan Zaylani bin Mohamad Zahid, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, yang menyentuh tentang struktur dan fungsi utama BNM dalam memastikan kestabilan ekonomi dan sistem kewangan negara. Beliau turut mengupas isu-isu semasa berkaitan keselamatan kewangan, termasuk penipuan kewangan yang semakin kompleks serta langkah-langkah perlindungan diri yang boleh diambil oleh orang awam, khususnya golongan muda.
Dalam perkongsian beliau, YBhg. Tuan Adnan Zaylani juga memaklumkan bahawa pihak Bank Negara Malaysia turut menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada mahasiswa yang layak dan berminat, selari dengan usaha memperkukuh barisan tenaga kerja profesional dalam sektor kewangan negara.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YH Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University, serta YBhg. Encik Thomas Tan Koon Peng, Pengarah Bank Negara Malaysia.
Usai sesi utama, program diteruskan dalam suasana yang lebih santai menerusi sesi perbincangan tertutup bersama Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia. Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Pirdaus bin Mat Husain, Dekan Fakulti Teknologi, Rekabentuk dan Pengurusan (FTDM), UCYP University, dan melibatkan seramai 30 orang mahasiswa daripada kelompok B40.
Sesi ini memberi peluang kepada para mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan barisan kepimpinan tertinggi BNM. Mereka turut mengambil kesempatan mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan kerjaya, isu ekonomi semasa, serta hala tuju kewangan digital negara, yang relevan dengan bidang pengajian mereka. Slot ini menjadi lebih bermakna apabila Timbalan Gabenor BNM sudi berkongsi pengalaman peribadi serta perjalanan kerjaya beliau sebagai inspirasi kepada generasi muda.
Program ini dilihat menjadi platform berkesan dalam mendekatkan institusi kewangan negara dengan dunia pendidikan tinggi. Komitmen UCYP University dalam menyokong penganjuran program seperti ini membuktikan usaha berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga peka terhadap isu-isu semasa serta bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negara secara beretika dan berintegriti.

Ucapan aluan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University sempena program Interaksi bersama Pembina Masa Depan Negara anjuran Bank Negara Malaysia


Perkongsian oleh YBhg. Tuan Adnan Zaylani bin Mohamad Zahid, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysiaย






Sorotan sepanjang sesi Interaksi bersama Pembina Masa Depan Negara






Sesi Sembang Santai bersama Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan 30 pelajar terpilih