Istiadat Konvokesyen 2023 UCYP dan KYP pada tahun ini, telah disempurnakan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga merupakan Pro Canselor UCYP. Turut hadir bagi meraikan kejayaan para graduan adalah yang Hormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd; Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP; Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ismail bin Abd Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola KYP; Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP serta barisan-barisan tetamu kehormat.
Istiadat Konvokesyen kali ini merupakan antara momen istimewa dengan jumlah pelajar yang layak bergraduat adalah seramai 836 graduan dari pelbagai bidang pengajian. Majlis yang di adakan di Hotel Zenith, Kuantan pada 29 Oktober 2023 ini melibatkan dua sidang yang berbeza bagi memberi peluang kepada graduan dan ahli keluarga untuk meraikan kejayaan bersama dalam suasana yang penuh meriah.
UCYP dan KYP terus mengekalkan kelainan bagi setiap Istiadat Konvokesyen yang dijalankan menerusi tema yang berbeza. Pada tahun ini “Transformasi Masyarakat melalui Pendidikan” telah dipilih dengan penekanan institusi bahawa pendidikan memainkan peranan penting untuk membentuk masyarakat ke satu tahap yang lebih baik. Dalam konteks ini, universiti dan kolej telah mengambil inisiatif untuk memberi tumpuan kepada golongan yang kurang bernasib baik, termasuk komuniti kelainan upaya, masyarakat Orang Asli, dan kumpulan terpinggir, untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan.
Istiadat Konvokesyen UCYP dan KYP tambah bermakna dengan titah Yang Amat Mulia Pro Canselor UCYP, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Yang Amat Mulia Pro Canselor menyeru pemegang taruh Yayasan Pahang dan rakan industri untuk terus menyokong institusi ini dan memastikan kelangsungannya sebagai sumber modal insan khususnya di negeri Pahang. Harapan Yang Amat Mulia Pro Canselor agar graduan UCYP dan KYP tampil sebagai modal insan yang unggul terutamanya dalam bidang profesional dan kemahiran demi pembangunan negeri dan negara.
Sementara itu, menerusi ucapan YH Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP, beliau menekankan prinsip Kreativiti, Kualiti dan Integriti (CQI) dalam kalangan warga universiti. Pelaksanaan strategi melalui prinsip CQI ini melibatkan pemupukan budaya yang menghargai inovasi, kecemerlangan dan tingkah laku beretika. Gabungan kesemua prinsip tersebut mampu menyumbang kepada kejayaan keseluruhan para graduan dan membawa reputasi positif kepada institusi.
Sebagai pengiktirafan atas pencapaian yang mengagumkan, Jawatankuasa Senat Universiti dan Kolej bersetuju memberi penghormatan tertinggi kepada dua beradik iaitu Mahendran A/L Shilowaras dan Maheswaran A/L Shilowaras. Mereka bukan sahaja berjaya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik malah turut memberi sumbangan signifikan dalam aktiviti sosial. Mahendran yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian) UCYP telah menerima Anugerah Tuanku Canselor manakala adiknya, Maheswaran, graduan Diploma Grafik dan Rekabentuk Multimedia KYP telah berjaya meraih Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Menteri Besar Pahang.
Oleh itu, Istiadat Konvokesyen 2023 UCYP & KYP telah menjadi satu acara yang bersejarah, memperingati perjalanan pelajar-pelajar yang telah berusaha keras untuk mencapai kejayaan akademik mereka. UCYP dan KYP berharap agar para graduan dapat menjadi inspirasi kepada generasi akan datang. Semoga Istiadat Konvokesyen yang berlangsung dengan lancar dan penuh meriah ini, mencipta kenangan indah yang akan kekal di hati semua yang hadir. Tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan semoga terus cemerlang di luar sana!
Pengisytiharan pembukaan Istiadat Konvokesyen oleh YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro Canselor UCYP (Sidang 1)
Persembahan ucapan oleh YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP (Sidang 1)
Penyampaian Anugerah Tuanku Canselor, Mahendran A/L Shilowaras graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian) UCYP (Sidang 1)
Penyampaian skrol akademik oleh YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd (Sidang petang)
Sekitar Istiadat Konvokesyen 2023 UCYP & KYP