University College of Yayasan Pahang (UCYP) melebarkan lagi jalinan kerjasama strategik dan kini bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman pada 17 Jun 2022 yang lalu. Majlis yang diadakan di Kuantan Pahang ini, dihadiri hampir 300 orang tetamu dalam kalangan ketua-ketua jabatan negeri, persekutuan, agensi-agensi kerajaan, wakil-wakil institusi pengajian tinggi serta pemain-pemain industri khususnya sektor perladangan dan komoditi negeri Pahang.
Objektif utama jalinan kerjasama ini adalah tertumpu kepada usaha kerjasama di antara dua institusi bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang penanaman serta perkongsian ilmu dan kepakaran antara penyelidik serta pelajar. Kerjasama yang terjalin ini juga turut melibatkan entiti di bawah UPM itursendiri iaitu Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP). INTROP merupakan entiti yang mempunyai kepakaran dalam perhutanan tropika yang melibatkan tanaman kenaf dan buluh yang banyak membantu dalam menjana ekonomi dalam industri kayu negara.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran wakil rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin. Turut hadir adalah Naib Canselor UCYP, YH. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Hj. Zainuddin, Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Exco Kerajaan Negeri Pahang, Ketua Hakim Syarie Pahang, Ahli Lembaga Pengarah KYP Education serta barisan pengurusan KYP Education Sdn. Bhd., UCYP, KYP dan delegasi dari UPM.
Selain daripada momen bersejarah ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ini, acara kemuncak majlis ini turut tertumpu kepada pelancaran Pahang Ecology Research Centre (PERC). Pusat ini merupakan inisiatif UCYP dalam mendukung agenda kerajaan negeri untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar serta mengangkat konsep Environmental, Social, & Governance (ESG). PERC merupakan sebuah pusat pengumpulan maklumat, penyelidikan, pembangunan dan perundingan yang berkaitan dengan sumber alam yang berperanan dalam memastikan kesejahteraan persekitaran ekologi melalui pelbagai aktiviti dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar. Pusat ini yang dikendalikan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Infrastruktur dan Aset) yang diketuai oleh Puan Hajah Rugayah Binti Hussein yang turut dibantu oleh Profesor Madya Dato’ Dr. H’ng Paik San yang dilantik sebagai penyelidik utama PERC.
Diharapkan melalui kerjasama ini penanaman sumber komoditi dapat diperluas dan seterusnya dapat meraih manfaat jangka masa panjang bagi kedua-dua institusi ini dan seterusnya pembangunan dalam penyelidikan dan pendidikan dapat diperluas serta menghasilkan satu dasar dan mekanisme terbaik dalam memulihara sektor perladangan dan komoditi negeri Pahang.
Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UCYP dan UPM disaksikan oleh tetamu kehormat
Gimik Pelancaran Pahang Ecology Research Centre (PERC) yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin
Pelantikan Profesor Madya Dato’ Dr. H’ng Paik San sebagai Penyelidik Utama Pahang Ecology Research Center (PERC)
Sekitar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UCYP-UPM dan Pelancaran Pahang Ecology Research Center (PERC)