6 Februari 2022 – menjadi sejarah buat UCYP di mana 22 orang pelajar dari negara China selamat mendarat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) bagi menyambung pengajian mereka di peringkat ijazah di University College of Yayasan Pahang (UCYP). Seramai 15 orang pelajar lelaki dan 7 orang pelajar wanita di kuarantin di Hotel KIP, Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke Kuantan, Pahang. Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dan Pengurusan Perniagaan di UCYP.
Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, pihak UCYP komited dalam memastikan segala panduan keselamatan dan kesihatan dipatuhi oleh kumpulan pelajar tersebut. Pelajar ini telah menjalani proses kuarantin di KIP Hotel Kuala Lumpur selama 7 hari bermula 6 Februari – 12 Februari 2022. Hasil ujian saringan Covid-19, didapati kesemua pelajar negatif dan bebas dari sebarang simptom atau gejala.
Sejurus tamat tempoh kuarantin, 22 orang pelajar tersebut telah dibawa ke penginapan para pelajar antarabangsa iaitu D’Embassy Residence Suite, Kuantan pada 12 Februari 2022. Pelajar yang telah menjalani saringan kesihatan meneruskan proses dokumentasi kemasukan dan seterusnya memulakan sesi pembelajaran secara atas talian. Segala urusan kebajikan dan kemudahan para pelajar ini turut dibantu oleh barisan mentor UCYP iaitu Prof. Madya Dr. Tan Li Pin, Encik Yung Leong Lam, Puan Ng Loo Ee dan Encik Chin Kuo Ren.
“Menurut Shen Zhaoshi, selain dari taklimat pendaftaran yang komprehensif saya serta rakan-rakan amat berpuas hati dengan kemudahan serta kebajikan yang disediakan oleh pihak UCYP. Kami telah disediakan dengan pelbagai keperluan, seperti kemudahan riadah dan kelengkapan bahan elektrik bagi memenuhi keperluan asas kami. Selain itu, pembelajaran secara atas talian juga memberi pengalaman yang menarik, dan kami menerima kerjasama yang baik daripada tenaga pengajar UCYP. Walaupun berdepan dengan suasana pandemik, ia tidak menghalang kami untuk terus bersemangat demi mengejar impian.
Sekalung penghargaan buat Encik Ts. Abdul Aziz How Abdullah, Pengarah Pendidikan Malaysia-Beijing serta warga Pendidikan Malaysia-Beijing yang banyak menghulurkan bantuan serta sokongan terhadap UCYP. Semoga usaha sebegini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama serta memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara. Diharapkan juga dengan kemasukan pelajar ini, dapat mewujudkan kepelbagaian budaya serta meningkatkan perpaduan antara bangsa di UCYP.
Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri
Ketibaan 22 pelajar dari negara China di KLIA
Sesi penerangan kepada pelajar oleh Penolong Naib Canselor (Enrolmen Pelajar & Pejabat Antarabangsa) Encik Yung Leong Lam
Pelajar tiba di penginapan D’Embassy Residence Suite, Kuantan
Antara aktiviti rekreasi buat para pelajar antarabangsa UCYP