Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) yang merupakan inisiatif Yayasan Pahang melalui KYP Education Sdn. Bhd. dan UCYP University telah mencatat sejarah tersendiri apabila salah seorang alumninya, Encik Shahrol Wizan Sulong, 45, telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) yang mewakili negeri Pahang.
Berketurunan suku Jahut dan berasal dari Kampung Penderas, Kuala Krau, Temerloh, Shahrol Wizan merupakan figura yang disegani dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Beliau dikenali sebagai pendakwah aktif dan pemimpin masyarakat yang komited dalam memperkasa komuniti setempat, khususnya melalui pendekatan pendidikan dan pembangunan rohani.
Sebagai Pengerusi dan Imam Kampung Orang Asli Penderas, beliau telah memainkan peranan penting dalam mencorak pembangunan komuniti di perkampungan tersebut. Kepimpinan cemerlang beliau turut diiktiraf apabila Kampung Penderas menerima Anugerah Perkampungan Orang Asli Islam Terbaik Peringkat Negeri Pahang sempena sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah.
Pelantikan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan dan potensi golongan Orang Asli dalam menerajui kepimpinan di peringkat tertinggi negara, malah menjadi manifestasi kejayaan PETAMA dalam melahirkan tokoh masyarakat yang berwibawa. Ia juga memberi inspirasi kepada generasi muda Orang Asli untuk terus berusaha dan percaya pada kebolehan diri.
Yayasan Pahang dan UCYP University merakamkan ucapan tahniah kepada Senator Shahrol Wizan atas pelantikan ini dan mendoakan beliau terus cemerlang dalam memperjuangkan suara komuniti, khasnya masyarakat Orang Asli di peringkat nasional.




Alumni PETAMA, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili negeri Pahang – Yang Berhormat Senator Tuan Shahrol Wizan Sulong (atas)