Pada 23 hingga 25 Ogos 2024, Kontinjen UCYP University telah menyertai Kejohanan MASISWA peringkat Zon Timur yang diadakan di University College TATI, Kemaman, Terengganu. Seramai 56 orang atlet telah menyertai kejohanan ini, dan beraksi dalam pelbagai acara yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring, ping-pong, catur, dan e-sport. Kejohanan ini bukan sahaja memberi platform untuk para pelajar menampilkan kebolehan mereka, tetapi juga memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa.
UCYP University telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan meraih satu pingat emas dalam acara catur individu lelaki, pingat perak bagi catur berpasukan lelaki, dan tiga pingat gangsa untuk ping pong perseorangan lelaki, ping pong perseorangan wanita, dan e-sport PUBG. Kemenangan pingat emas dalam catur individu lelaki merupakan pencapaian yang membanggakan, di mana kategori ini telah dimenangi dua kali berturut dalam pertandingan MASISWA yang lepas. Penglibatan aktif semua atlet UCYP University dalam kejohanan ini menunjukkan semangat juang yang tinggi. Kejayaan dalam meraih pingat dalam acara yang dipertandingkan menandakan bahawa universiti ini mempunyai potensi besar dalam bidang sukan. Sementara itu, kejayaan dalam sukan e-sport turut mencerminkan evolusi minat golongan generasi muda yang lebih terdorong ke arah teknologi dan strategi dan ternyata menjadi pilihan mereka masa kini.
Kejohanan ini telah menerima sokongan penuh daripada pihak universiti, dengan pengurusan dan pegawai yang memberikan bantuan bagi memastikan para atlet dapat berlatih dengan baik sebelum pertandingan khususnya sokongan daripada penyediaan kemudahan latihan, pengurusan logistik, dan motivasi moral yang tinggi. UCYP University berbangga dengan pencapaian atletnya dan mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang telah berusaha keras dalam kejohanan ini. Kemenangan ini bukan sahaja menempatkan UCYP University sebagai antara pesaing, tetapi juga memberi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk menyertai aktiviti sukan dan memupuk gaya hidup sihat. Kejayaan Kontinjen UCYP University di Kejohanan MASISWA Zon Timur 2024 membuktikan bahawa dengan usaha dan sokongan berterusan, tiada yang mustahil untuk meraih kejayaan. Semoga pencapaian ini akan menjadi pendorong kepada lebih banyak kejayaan di masa akan datang.