Pada 30 Oktober 2023 UCYP telah menerima kunjungan balas daripada rakan strategik iaitu Chengdu Industry and Trade College, China (CITC) yang disertai oleh Li Wangying (Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti), Zhang Xiaoqian (Pengarah Pusat Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa), dan Yang Han (Ketua Jabatan Pengurusan Hal Ehwal Luar Negeri Pusat Kerjasama dan Komunikasi Antarabangsa).
Objektif kunjungan balas ini bertujuan untuk membina hubungan dua hala antara universiti dan industri yang berpotensi dalam perkembangan sektor pendidikan dan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. Pertemuan ini turut membincangkan Program Pendidikan Kerjasama Sino-Asing, yang mana dilihat dapat menggabungkan kepakaran Pusat Industri dan Perdagangan Chengdu. Peluang sebegini membuka ruang untuk meneroka kaedah terbaik untuk melatih kumpulan profesional, menyediakan peluang latihan industri, peluang pekerjaan, dan menjalankan program kerjasama antara industri dan universiti serta banyak lagi.
Kunjung hormat daripada delegasi CITC ini, diteruskan dengan lawatan ke perusahaan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. Gebeng dan disertai wakil-wakil dari UCYP, iaitu YH. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Bin Mohd Zain; Naib Canselor UCYP, Profesor Madya Dr. Tan Li Pin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Hubungan Industri), dan Encik Yung Leong Lam, Penolong Naib Canselor (Enrolmen Pelajar dan Pejabat Antarabangsa).
Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., merupakan kilang keluli berintegrasi terbesar di Malaysia, dan menawarkan pelbagai peluang kerjaya. Menurut Steve Hu Jiulin, Ketua Pegawai Teknologi merangkap Ketua Jurutera di Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., serta pasukannya amat berbesar hati dengan kerjasama yang bakal diwujudkan. Projek yang bakal dirangka oleh pihak Alliance Steel ini dijangka dapat mencipta 3,000 peluang pekerjaan, dengan 80 peratus dikhaskan untuk pekerja tempatan dan 20 peratus untuk tenaga kerja asing. Harapan UCYP dan CITC, semoga kerjasama bersama syarikat ini akan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir negeri dan seterusnya negara.
Komitmen untuk menjayakan kerjasama akademik dan industri adalah amat penting. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UCYP amat menghargai sokongan padu pelbagai pihak. Semoga usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan cemerlang dan berhasil dalam memberi manfaat kepada keseluruhan masyarakat.
Delegasi CITC dan UCYP semasa lawatan ke Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., Gebeng, Kuantan,Pahang
Serahan cenderamata oleh Naib Canselor UCYP , YH Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, kepada Encik Steve Hu Jiulin, Ketua Pegawai Teknologi merangkap Ketua Jurutera, Alliance Steel (M) Sdn. Bhd.