Pada 23 April 2024, UCYP University telah menjadi tuan rumah dalam Kunjungan Akademik dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 24 institusi pendidikan dari Badan Kerjasama Perguruan Tinggi Keagamaan Islam Swasta (BKS-PTKIS) Riau – Kepri, serta Universitas Potensi Utama Medan. Tujuan kerjasama ini adalah bagi menjayakan program kolaborasi seperti mini kolokium, program mobiliti pensyarah dan pelajar, geran penyelidikan serta enrolmen pelajar pasca siswazah.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University; Prof. Dr. Zulkifli Rusby, MM., ME. Sy, Ketua BKS-PTKIS Riau, Indonesia dan Ibu Nursyah Handayani, S.PD, M.Hum., Ketua Bahagian Lembaga Kerjasama Internasional Universitas Potensi Utama Medan, Indonesia.
Turut berlangsung ialah pembentangan Kolokium UCYP 2024 yang bertajuk “Transformasi Pendidikan Islam Pasca COVID-19” yang disampaikan oleh Prof.Dr.Zulkifli Rusby, MM., ME. Sy daripada Universitas Islam Riau – Rep. Indonesia dan Dr. H. Muhammad Juni Beddu, Lc, MA. daripada Sekolah Tinggi Ibnu Sina, Batam-Rep. Indonesia.
UCYP University sentiasa komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama bersama institusi lain di peringkat lokal mahupun global. Melalui kunjungan akademik dan MoU yang dimeterai ini, UCYP University teruja untuk menerokai ruang kolaborasi yang boleh dijalankan bersama 24 institusi terlibat. Diharapkan program ini dapat mewujudkan usaha sama antarabangsa antara pihak UCYP University dan institusi dari Indonesia sekaligus memupuk komunikasi dua hala dan pembangunan holistik khususnya dalam bidang pendidikan bagi kedua-dua belah pihak.
Momen menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)
Sorotan sekitar Majlis Menandatangani MoU 24 institusi Riau-Kepri bersama UCYP University
Sesi Pertukaran cenderamata antara UCYP University dan Badan Kerjasama Perguruan Tinggi Keagamaan Islam Swasta (BKS-PTKIS) Riau – Kepri, serta Universitas Potensi Utama Medan
Foto kenangan bersama delegasi Badan Kerjasama Perguruan Tinggi Keagamaan Islam Swasta (BKS-PTKIS) Riau – Kepri, serta Universitas Potensi Utama Medan