Let’s Rhyme: Chatty Champs, merupakan satu inisiatif unik yang menggabungkan pembelajaran Bahasa Inggeris dengan aktiviti interaktif dan eksplorasi budaya. Program selama dua hari ini (17 dan 18 Januari 2025) telah disertai oleh kanak-kanak dari negara China yang berusia antara 4 hingga 12 tahun, dengan semangat untuk meningkatkan kemahiran komunikasi mereka dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.
Para peserta telah diperkenalkan kepada Let’s Rhyme Module, sebuah pendekatan kreatif dalam pembelajaran Bahasa Inggeris yang diasaskan oleh Puan Noorjahan Sultan. Sesi ini turut mendapat bimbingan daripada Puan Suhaila Hj. Mukhtar, Penasihat Komunikasi dan Kepimpinan Inovatif, UCYP University. Pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan bahasa, puisi kreatif, dan sesi komunikasi berstruktur bukan sahaja membantu para peserta menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik, malah membentuk keyakinan diri mereka dalam berkomunikasi.
Hari kedua program diteruskan dengan sesi pembelajaran dalam kelas yang lebih dinamik, di mana peserta diberikan peluang untuk mengasah kreativiti dan kemahiran berfikir secara kritis. Para peserta dibawa ke Natural Batik Village, Balok, Kuantan, bagi merasai sendiri pengalaman mencanting batik. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan mereka kepada seni dan budaya Malaysia, malah memberi ruang untuk mereka mengekspresikan kreativiti dalam menghasilkan rekaan batik yang unik.
Program ini diakhiri dengan kunjungan ke pantai sekitar bandar Kuantan, di mana peserta berpeluang menikmati keindahan alam sambil berinteraksi dengan rakan-rakan baharu. Aktiviti ini turut memupuk pemahaman silang budaya serta memberi mereka pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh. Let’s Rhyme: Chatty Champs bukan sekadar program pembelajaran bahasa, tetapi juga satu platform untuk membentuk pemimpin muda yang berkeyakinan, kreatif, dan berpemikiran global. Dengan kejayaan penganjuran program ini, UCYP University terus komited untuk menyediakan program-program inovatif yang menginspirasi generasi muda untuk berkembang dalam dunia yang semakin global.
Peserta Let’s Rhyme: Chatty Champs berkongsi momen berharga bersama Naib Canselor UCYP University
Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain
Sesi bersama pengasas Let’s Rhyme, Puan Noorjahan Sultan, membuka ruang kreativiti dan komunikasi
Sesi bersama Puan Suhaila Hj. Mukhtar, Penasihat Komunikasi dan Kepimpinan Inovatif UCYP University,
membuka ruang eksplorasi kepimpinan melalui komunikasi