Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan & Penyelidik UCYP University 2024, telah berlangsung pada 29 Mei 2025 bertempat di Dewan Aqua Crystal, Kampus Utama UCYP University. Penganjuran majlis ini bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang para penyelidik UCYP University yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ilmu dan budaya penyelidikan di institusi ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor UCYP University, YH. Prof. Datoโ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, yang turut menyampaikan anugerah kepada para penerima. Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Tan Li Pin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), yang menyatakan penghargaan kepada semua ahli akademik yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memartabatkan penyelidikan universiti.
Anugerah disampaikan dalam dua kategori utama iaitu Researcher Excellence Awards dan Research Excellence Awards, masing-masing mengiktiraf pencapaian individu dalam penyelidikan dan hasil projek penyelidikan terbaik sepanjang tahun 2024.
Bagi kategori Researcher Excellence Awards 2024, anugerah emas telah dirangkul oleh Dr. Mohd Pirdaus bin Mat Husain, manakala anugerah perak dimenangi oleh Pen. Prof. Ts. Dr. Mohd Hamisa bin Abdul Hamid, dan anugerah gangsa disandang oleh Puan Khairunnisa binti Mohad Khazin.
Sementara itu, bagi kategori Research Excellence Awards 2024, kajian bertajuk “AI-Driven Communication on Social Media: A Systematic Review of Emerging Trends and Challenges” telah dianugerahkan dalam kategori Emas. Manakala kajian bertajuk “A Critical Stylistics Analysis of Sports Commentaries” menerima anugerah Perak, dan kajian “Tahap Pengetahuan Muslim Negeri Pahang Mengenai Waqaf dan Waqaf Pahang” dinobatkan penerima anugerah Gangsa.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan UCYP University dalam memupuk budaya penyelidikan yang inovatif, berimpak dan selaras dengan keperluan semasa. Ia juga menjadi platform penting dalam memberi pengiktirafan kepada usaha gigih penyelidik universiti dalam menjana ilmu baharu dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah atas pencapaian cemerlang ini. Diharapkan kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi kepada warga akademik UCYP University dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi di masa hadapan.

Anugerah Emas Researcher Excellence Awards 2024 dianugerahkan kepada Dr. Mohd Pirdaus bin Mat Husain

Penolong Profesor Ts. Dr. Mohd Hamisa bin Abdul Hamid merupakan penerima Anugerah Perak

Puan Khairunnisa binti Mohad Khazin menerima Anugerah Gangsa


Pengiktirafan Anugerah Emas (kiri) dan Gangsa (kanan) dalam Research Excellence Awards 2024 masing-masing diberikan kepada kajian “AI-Driven Communication on Social Media” dan “Tahap Pengetahuan Muslim Negeri Pahang Mengenai Waqaf dan Waqaf Pahang”
