Pada 30 Ogos 2022, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara University College of Yayasan Pahang (UCYP) bersama dua buah institusi iaitu Razak School of Government (RSOG) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah dimeterai dengan jayanya. Jalinan kerjasama ini bertujuan untuk mencapai persefahaman dan kesepakatan di antara institusi terutamanya dalam bidang akademik, kemahiran dan kepimpinan. Bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Dua orang tidak mungkin jalan bersama jika tidak sepakat”, yang membawa makna, kesatuan tenaga demi matlamat yang sama pasti membawa kejayaan.
Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan tetamu kehormat seperti Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Binti Mohd Nur, YH. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Hj. Zainuddin, Naib Canselor UCYP, YH. Dato’ Razihan Bin Adzharuddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), YB. Dato’ Khairuddin Bin Mahmud, Ahli Lembaga Pengarah UCYP dan YBhg. Puan Nurliana Binti Muhammad, Ahli Lembaga Pengelola UCYP. Jalinan kerjasama ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran delegasi dari setiap institusi iaitu YBhg Dr. Haji Mohamad Kamal Bin Haji Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Government (RSOG) dan YBhg Datuk Dr. Roziah Binti Omar, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Binti Mohd Nur berkata, jalinan hubungan strategik antara UCYP dan RSOG bakal memberi impak signifikan terutamanya dalam memperkasakan kepimpinan dan tadbir urus bagi generasi akan datang. Menurutnya, pembabitan warga UCYP dan RSOG mampu menawarkan latihan yang melibatkan kursus strategik, kepimpinan dan tadbir urus kepada penjawat awam di negeri Pahang dan mana-mana agensi kerajaan atau swasta. Manakala, jalinan hubungan strategik antara UCYP dan UniKL pula berkait rapat dengan penawaran kursus logistik di mana satu kursus jangka pendek bidang logistik dan yang berkaitan bakal dilaksanakan. Justeru, dengan kerjasama ini dapatlah UCYP dan UniKL membangunkan program pra-universiti, diploma dan ijazah untuk penawaran bersama atau dwi ijazah (joint/dual degree) bagi pengajian akademik yang bersesuaian dengan bidang berkaitan dengan kedua-dua institusi tersebut.
Sementara itu, seramai 250 orang tetamu terdiri daripada pelajar dan kakitangan didedahkan dengan perkongsian yang berkaitan isu terkini yang disampaikan oleh wakil-wakil institusi iaitu Yang Berbahagia En. Azham Zainal Abidin, Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan, RSOG dengan tajuk Mencorak Kepimpinan Masa Hadapan – Pengajaran daripada Pandemik. Perkongsian seterusnya, disampaikan oleh wakil Universiti Kuala Lumpur iaitu Yang Berbahagia Profesor Madya Ts. Dr. Ishamuddin B Mustapha, Dekan dan Ketua Kampus UniKL (MITEC) dengan tajuk Pengurusan Kejat: “Where Knowledge Is Applied.”
Selain itu, majlis ini turut dimeriahkan dengan pameran dari Tun Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership (TGS) yang menjurus ke arah asas dunia kepimpinan yang boleh dibanggakan.
Diharap, melalui jalinan kerjasama antara UCYP dan RSOG serta UCYP dan UniKL menjadi pemangkin ke arah perkembangan institusi pendidikan tinggi negara di samping memperkasakan nilai kepimpinan dalam kalangan masyarakat, amnya dan graduan universiti, khususnya.
Ditulis oleh: Nabihah Najwa Binti Noordin
Ucapan dari YBhg. Dr. Haji Mohamad Kamal Bin Haji Harun FASc. Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Government (RSOG)
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara University College of Yayasan Pahang dan Razak School of Government (RSOG)
Ucapan dari YBhg. Datuk Dr. Roziah Binti Omar, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
Sesi perkongsian bersama wakil dari RSOG YBhg. En. Azham Zainal Abidin, Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan
Tajuk: Mencorak Kepimpinan Masa Hadapan – Pengajaran Daripada Pandemik
Sesi perkongsian bersama wakil dari UniKL YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Ishamuddin B Mustapha, Dekan & Ketua Kampus UniKL MITEC
Tajuk: Pengurusan Kejat: “Where Knowledge Is Applied”
Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali Ke-65 bersama tetamu jemputan