UCYP University terus memperluas jaringan strategik apabila menjalin kerjasama rasmi bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melalui satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan pada 15 Mei 2025 bertempat di Dewan Aqua Crystal, UCYP University.
Majlis bersejarah ini menyaksikan MoU ditandatangani oleh YH Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University dan YH Dato’ Zaliza bin Zulkipli, Pengarah JAIP. Turut menyaksikan majlis ini ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Pusat Latihan dan Penyelidikan Halal Pahang, yang akan berperanan sebagai platform utama dalam memperkukuhkan ekosistem halal di negeri ini. Fokus utama pusat ini merangkumi aktiviti penyelidikan, pembangunan kapasiti, kursus latihan halal, perkhidmatan perundingan, serta program kesedaran halal yang bersifat menyeluruh.
Sebagai pelengkap kepada majlis MoU ini, satu sesi Halal Talk turut diadakan dan disampaikan oleh Tuan Haji Adnan bin Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP. Beliau berkongsi pandangan dan maklumat penting berkaitan isu-isu semasa dalam industri halal serta kepentingannya dalam pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.
Kerjasama strategik antara UCYP University dan JAIP ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkasa pelaksanaan halal di peringkat negeri, malah turut menyokong aspirasi nasional dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju global industri halal. Pelajar, penyelidik dan komuniti setempat bakal menerima manfaat melalui program-program yang bakal dianjurkan oleh pusat ini, termasuk peluang latihan, penyelidikan bersama dan bimbingan dalam sektor halal.
Inisiatif ini selari dengan komitmen UCYP untuk menjadi sebuah universiti yang bukan hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, malah berperanan aktif dalam membangunkan masyarakat dan industri melalui ilmu pengetahuan serta kerjasama berimpak tinggi.



Ucapan aluan dari YH Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University (kiri); YH Dato’ Zaliza bin Zulkipli, Pengarah JAIP (tengah) dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University (kanan)


Sekitar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) oleh wakil UCYP University dan Jabatan Agama Islam Pahang

Sesi Halal Talk yang disampaikan oleh Tuan Haji Adnan bin Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP





