UCYP University melakar sejarah baharu dalam kerjasama antarabangsa menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pushkin State Institute of the Russian Language, sebuah institusi terkemuka di bawah seliaan Kementerian Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini telah diadakan pada 29 April 2025 bertempat di Dusit Princess, Melaka. MoU ini secara rasmi menandakan penubuhan Pusat Bahasa Rusia di UCYP University, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan bahasa antarabangsa dalam kalangan warga universiti.

Dalam majlis tersebut, UCYP University telah diwakili oleh YH. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University, manakala pihak Pushkin State Institute of the Russian Language telah diwakili oleh Dr. Nikita Gusev, Rektor Pushkin State Institute of the Russian Language.

Penubuhan Pusat Bahasa Rusia di UCYP University ini akan berada di bawah seliaan Pusat Bahasa UCYP, dan bakal menawarkan pengajaran bahasa Rusia yang berkualiti tinggi. Modul pengajarannya akan dirangka agar sejajar dengan keperluan industri dan pasaran kerja global.

Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu langkah strategik UCYP University dalam melahirkan graduan berkemahiran pelbagai bahasa yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, ia turut mengukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Rusia.

Langkah ini sejajar dengan komitmen UCYP University untuk memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa serta membuka peluang baharu kepada pelajar dan tenaga pengajar dalam meneroka budaya dan bahasa dunia.

Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dr. Nikita Gusev, Rektor Pushkin State Institute of the Russian Language dan YH. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University

Leave a Reply