Yayasan Tuanku Canselor UCYP sekali lagi mengambil pendekatan yang komprehensif dalam membantu kelompok pelajar yang kurang berkemampuan melalui sebuah program yang dikenali sebagai “YOUNGpreneur @YTC UCYP”. Program yang dirangka ini mendapat penajaan daripada Yayasan Tuanku Canselor UCYP dan ia merupakan program pembangunan usahawan bagi pelajar dari kategori B40 atau Asnaf dari pengajian tahun 3 dan 4. Selanjutnya, program ini turut dijangka dapat menghasilkan lebih ramai usahawan Asnaf dari pelbagai kluster perniagaan sama ada sepanjang tempoh pengajian atau selepas tamat tempoh pengajian. Berpandukan objektif penubuhan YTC UCYP program keusahawanan ini tidak hanya memfokuskan kepada pelajar di UCYP, KYP & KYPAS sahaja, namun turut terbuka kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta di seluruh Malaysia bagi menyemai minat dan membentuk minda  dalam keusahawanan.

Selain itu, Program “YOUNGpreneur @YTC UCYP” akan dilaksanakan selama satu tahun bermula pada 07 Ogos 2022. Program ini memperkenalkan tiga kluster utama iaitu Kluster YOUNGpreneur Digital, Kluster YOUNGpreneur Agrikultur dan Kluster YOUNGpreneur Food & Beverages (F&B) dan setiap kluster ini akan melalui lima fasa yang telah diatur oleh pihak YTC UCYP. Pemantauan turut akan dilakukan secara sistematik melalui kerjasama pihak mentor yang terpilih bagi memastikan para pelajar ini mendapat bimbingan sewajarnya. Penghasilan modul-modul ini oleh pihak YTC UCYP, membuktikan kemampuan dan usaha yang proaktif telah diambil bagi membantu para pelajar dalam memajukan diri dan tidak hanya bertumpu untuk mendapatkan sumbangan kewangan semata.

Oleh yang demikian sebuah majlis pengenalan dan pelancaran telah diadakan pada 7 Ogos 2022 di Kampus Utama UCYP Tanjung Lumpur. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 1 serta turut dihadiri oleh Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Ketua Eksekutif KYP Education Sdn. Bhd. (KESB) / Naib Canselor, UCYP, Yang Hormat Dato’ Ahmad Saruji Bin Abdul Aziz, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTC UCYP, barisan tetamu kehormat serta 300 orang pelajar. Menerusi ucapan perasmian YB. Timbalan Menteri Kewangan 1, beliau banyak berkongsi pengalaman sendiri di mana suatu ketika dahulu, belia tergolong dalam kelompok B40. Demi menambah baik taraf kehidupan keluarga, beliau telah diasuh dengan ciri-ciri seorang usahawan sejak dari kecil. Beliau turut menekankan kepada pelajar agar mengutamakan pelajaran kerana ianya merupakan tiket terbesar untuk mengubah taraf ekonomi keluarga. Bakal usahawan disaran agar membuka luas minda dan meneroka bidang-bidang yang dapat memberi pulangan yang baik seperti menyediakan platform bagi aktiviti-aktiviti digital ekonomi.

Langkah murni yang diambil oleh pihak YTC UCYP dalam membantu pelajar golongan B40 dan Asnaf diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta. Semoga langkah permulaan dalam usaha mengubah taraf ekonomi keluarga dan seterusnya membina perniagaan yang berjaya dapat direalisasikan sebaiknya seterusnya menyumbang kepada pembangunan sektor ekonomi keluarga, negeri dan negara.

 

Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri

[vc_single_image image=”18241″ img_size=”full”]

Foto kenangan bersama Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 1

[vc_single_image image=”18235″ img_size=”full”]

Ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 1

 

 

Sekitar Majlis Perlancaran YOUNGprenuer@YTC UCYP