“Apapun harta yang kalian infakkan maka Allah pasti akan menggantikannya, dan Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” – QS. Saba’: 39
Keprihatinan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah tidak asing lagi di kalangan warga UCYP terutamanya dalam menyalurkan bantuan untuk kebajikan pelajar. Pusat Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di bawah Institut Peradaban Islam dan Antarabangsa, melalui Jabatan Waqf dan Endowmen UCYP telah menerima manfaat sumbangan pada 11 Oktober 2023 yang lalu. Sumbangan berbentuk kenderaan pacuan empat roda ini adalah untuk membantu kemudahan pergerakan pelajar PETAMA sepanjang pengajian mereka, khususnya melibatkan kawasan pendalaman. Kedudukan geografi penempatan Masyarakat Asli seringkali mengakibatkan akses yang terhad kepada lokasi pengajian dan sumber pendidikan. Justeru melalui sumbangan ini, proses perjalanan pembelajaran di PETAMA akan lebih lancar dan efisien.
Sumbangan ini telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal & Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Turut hadir, Profesor Madya Dr. Azhar Bin Jaafar @ Ramli, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Diplomasi Komuniti), yang menjalankan fungsi Naib Canselor UCYP di samping barisan pengurusan yang lain.
Sekalung penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas sumbangan yang diberikan. Ini adalah satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama antara universiti dan pihak berkepentingan dalam pembangunan masyarakat asli. Sumbangan ini tidak hanya akan memberikan manfaat kepada pelajar PETAMA, tetapi juga kepada seluruh komuniti masyarakat asli yang mengambil bahagian dalam program-program pendidikan di UCYP. Dengan kerjasama dan sokongan daripada pihak seperti MUIP, UCYP berharap dapat terus memastikan kelangsungan pendidikan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada pelajar PETAMA serta komuniti masyarakat asli.
Sekitar Majlis Penyerahan Triton MUIP untuk kegunaan PETAMA