Pada 11 Januari 2025, UCYP University telah menganjurkan Majlis Perasmian Penutup Program Peledak Prestasi Diri: Peningkatan Akademik Tingkatan 4, dan ianya merupakan hasil kerjasama antara Tun Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership (TGS-ISL) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART).
Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohammad bin Che Ibrahim, Pengetua SMART dengan kehadiran YH. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University, Puan Suhaila binti Haji Mukhtar, Pengarah TGS-ISL serta Puan Ts. Suriyani binti Sulaiman, Ketua Pegawai Digital.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi turut menyampaikan slot motivasi eksklusif kepada para pelajar, menyuntik semangat dan inspirasi dalam mengejar kejayaan akademik serta pembangunan diri. Menerusi pembentangannya, beliau menyoroti kepentingan membangunkan pemikiran inovatif melalui pendekatan berstruktur, penyelesaian masalah yang efektif, serta konsep biomimikri dalam reka bentuk dan teknologi. Dengan merujuk kepada kejayaan global seperti teknologi CRISPR, kenderaan elektrik Tesla, dan perbankan mikro, beliau menekankan bahawa pelajar perlu menguasai kemahiran kritikal ini bagi menghadapi cabaran masa depan dan menjadi pemimpin berwawasan.
Tidak ketinggalan, sesi Kahoot! interaktif yang dikendalikan oleh Pengarah TGS-ISL berjaya menceriakan suasana, menguji pengetahuan, serta menggalakkan daya saing sihat dalam kalangan pelajar. Program ini bukan sekadar satu inisiatif akademik, tetapi juga satu platform untuk membina sahsiah dan kepimpinan generasi muda. Dengan pendedahan kepada kaedah pembelajaran inovatif serta bimbingan daripada pakar pendidikan, para pelajar Tingkatan 4 SMART kini lebih bersedia untuk menghadapi cabaran SPM 2025.
Semoga kejayaan dalam program ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik mereka serta melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing dan berwawasan tinggi.
Ucapan perasmian penutup oleh Tuan Haji Mohammad bin Che Ibrahim, Pengetua SMART
Slot motivasi eksklusif yang disampaikan oleh
Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University
Sekitar Majlis Perasmian Penutup Program Peledak Prestasi Diri SMART