Pada 8 Mac 2024 yang lalu, telah berlangsung Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama antara KYP Education Sdn. Bhd. (KESB) dan Grab Malaysia serta Pelancaran Program Penempatan Kerjaya yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Program yang dihadiri oleh 100 orang tetamu jemputan ini bertujuan untuk memperkukuhkan asas pendidikan dalam kalangan generasi akan datang.
Majlis yang bersejarah ini telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri (Dr.) Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Yang Hormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin; Pengerusi Lembaga Pengarah KESB, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Professor Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur; Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, dan Yang Berbahagia Tuan Rashid Shukor; Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd. Razak; EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi & Pendidikan Negeri Pahang; Yang Berhormat Tuan Fadzli bin Mohd Kamal; EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang serta barisan ahli Lembaga Pengarah KESB.
Langkah proaktif telah diambil oleh pihak GRAB Malaysia sebagai peneraju dalam sektor penghantaran, mobiliti dan perkhidmatan kewangan digital untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakan-pemandu serta rakan-penghantar terhadap pentingnya pendidikan. Kerjasama strategik bersama KESB ini merupakan tambahan kepada program GRAB Akademi untuk memberi ruang kepada rakan-pemandu dan rakan-penghantar meningkatkan taraf pendidikan dan pembangunan karier dalam ruang lingkup yang lebih luas.
Selaras dengan perjanjian ini, KESB telah menyediakan latihan jangka pendek untuk tempoh empat hingga enam bulan. Rakan-pemandu dan rakan-penghantar GRAB mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dan mendapatkan peluang baharu untuk pembangunan profesional dan peribadi melalui kursus separuh masa ini. Nilai tambah kepada inisiatif ini adalah sokongan daripada Yayasan Pahang dalam bentuk pinjaman pendidikan untuk peserta yang berkelayakan.
Selain itu pihak KESB turut mengadakan Pelancaran Program Penempatan Kerjaya yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang. Diharapkan unit ini akan terus membantu para graduan UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang dalam pencarian kerjaya yang bersesuaian serta memenuhi keperluan industri dalam mendapatkan tenaga mahir. Untuk rekod, kadar kebolehpasaran graduan di bawah UCYP University bagi tahun 2022 adalah 90%. Statistik ini menunjukkan prestasi cemerlang universiti dalam memberi persediaan kepada graduan untuk menempuhi alam pekerjaan. Inisiatif ini diharap mampu mengekalkan kecemerlangan dan merapatkan jurang antara institusi pendidikan serta industri.
Semoga melalui kerjasama ini, kedua-dua organisasi mencapai objektif yang sama iaitu menyumbang kepada pembangunan menyeluruh bagi masyarakat dan individu. Keseimbangan dan kerjasama di antara KESB dan GRAB Malaysia dijangka membawa manfaat besar kepada negeri Pahang khususnya sektor industri, masyarakat setempat, dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak.
Kehadiran rakan-pemandu dan penghantar GRAB Malaysia ke Pelancaran Penempatan Kerjaya dan Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama antara KESB dan Grab Malaysia
Gimik Pelancaran Penempatan Kerjaya KESB oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri (Dr.) Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail
Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama antara KYP Education Sdn Bhd dan GRAB Malaysia
Sorotan semasa Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama antara KESB dan Grab Malaysia dan Pelancaran Penempatan Kerjaya