Program kerjasama pendidikan antara negara bukanlah perkara yang asing, khususnya buat UCYP Malaysia. Sekian lama, UCYP telah menjalinkan pelbagai kerjasama dan hubungan dua hala antara institusi pendidikan, industri dan agensi sama ada di dalam atau luar negara. Pelbagai jaringan strategik yang telah diwujudkan antaranya bersama Indonesia, Bangladesh dan New Zealand. Dalam usaha menjadi salah sebuah institusi pendidikan yang terkemuka di peringkat global, UCYP komited dalam meneroka pelbagai bidang serta terbuka dengan pendedahan yang optimum kepada para pelajarnya melalui program mobiliti pelajar dan dual-program antara institusi.
Pada 6 Julai 2023, UCYP Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke Chengdu Industry and Trade College (CITC). CITC merupakan sebuah kolej vokasional awam yang diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Sichuan, China. Delegasi UCYP Malaysia yang diketuai oleh Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP, turut dibantu oleh rakan strategik UCYP, iaitu Encik Wang Ji yang bertindak sebagai jurucakap sepanjang siri lawatan ke China. Kehadiran delegasi UCYP Malaysia disambut baik oleh Timbalan Setiausaha Parti, Encik Li Wangying, Timbalan Naib Canselor, Encik Wang Yili, Pengarah Kemasukan Pelajar dan Jabatan Sumber Manusia, Puan Pan Hong, Pengarah Pusat Pertukaran dan Kerjasama Antarabangsa, Puan Zhang Xiaoqian dan para pegawainya. Antara pengisian program yang telah disediakan oleh pihak CITC ialah lawatan ke sekitar kampus, pengenalan beberapa teknologi baharu yang sedang dibangunkan serta sesi diskusi berkenaan program kolaborasi akademik antara UCYP Malaysia dan CITC.
Program kolaborasi ini melibatkan kerjasama dalam menjalankan dua program iaitu Diploma in Internet of Things (IoT) Applications dan Diploma in Applied Information Security Program kelulusan daripada Sichuan Department of Education. Ianya merupakan satu projek usaha sama antara UCYP Malaysia dan CITC dalam usaha untuk memberi pendedahan yang berkualiti tinggi kepada para pelajar dari kedua-dua buah negara. Usahasama ini bukan hanya melibatkan program mobiliti pelajar, tetapi juga melibatkan para pensyarah dan tenaga pengajar dari UCYP Malaysia- Talent and Knowledge Transfer Program. Dalam pada masa yang sama, UCYP Malaysia juga berharap untuk mengembangkan potensi kerjasama bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam bidang industri. Semoga pertemuan dan segala perbincangan yang telah dilaksanakan dapat diimplementasikan dengan jayanya. Jutaan penghargaan dizahirkan buat seluruh warga CITC yang sudi menerima kunjungan dari UCYP Malaysia.
Sesi lawatan ke sekitar Chengdu Industry and Trade College, CITC
Sesi pertemuan dan diskusi antara delegasi UCYP Malaysia dan CITC