UCYP terima penghargaan Excellence Tourism Education Contributor Award
Industri pelancongan merupakan antara industri yang menjadi penyumbang kepada kerancakan dan pembangunan ekonomi negara. Sebagai sebuah negeri yang masih terpelihara khazanah alam semula jadi, negeri Pahang sentiasa menjadi destinasi pilihan bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa dan secara tidak langsung perkembangan ini dilihat mampu merancakkan kadar pertumbuhan ekonomi negeri. Selari itu juga, Kerajaan Negeri Pahang turut menghargai usaha pelbagai agensi dan institusi pendidikan dalam membantu dan merangka strategi terbaik bagi memajukan lagi sektor ini.
Sebagai institusi pengajian tinggi yang sentiasa diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Pahang, University College of Yayasan Pahang, UCYP telah bergerak aktif dalam menyediakan platform bagi mencari solusi terbaik untuk mengembalikan aktiviti ekonomi dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk dengan kemunculan pandemik. UCYP telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti penganjuran simposium, webinar serta diskusi di peringkat global bersama pemain industri, golongan profesional pendidikan, dan badan-badan berkepentingan. Antara program yang telah dijalankan oleh UCYP ialah Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang iaitu This Is Pahang. Selain itu UCYP dengan kerjasama pihak Tourism Pahang telah mengadakan Pahang International Tourism Symposium (PITS) yang telah dijalankan sebanyak dua kali pada tahun 2021 dan 2022.
Segala usaha yang dilaksanakan oleh UCYP ternyata telah membuahkan hasil apabila telah dianugerahkan sebagai salah satu penerima dalam International Conference on Cultural Tourism and Education 2023 Malaysia China (Heilongjiang) Cultural Economy Coorporation Summit (ICCTE 2023). Majlis yang dianjurkan pada 30 Mac 2023 di RekaScape Cyberjaya ini, merupakan usaha bersama Malaysia-China Cultural Tourism Association dan ECI Higher Education. Ianya bagi mengiktiraf Kerajaan Negeri Pahang dan UCYP atas segala usaha dan inisiatif yang diambil dalam membantu merealisasikan pemerkasaan terhadap industri pelancongan negara.
Kejayaan ini menjadi kebanggaan kepada warga UCYP, kerana UCYP menjadi satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi di Negeri Pahang yang menerima Anugerah Excellence Tourism Education Contributor yang disampaikan sendiri oleh Yang Berhormat Cik Leong Yu Man, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang. Hal ini secara tidak langsung telah membuktikan keberadaan dan keupayaan UCYP bersama-sama mendukung aspirasi Kerajaan Negeri Pahang sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa.
Anugerah disampaikan oleh Yang Berhormat Cik Leong Yu Man, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Hj. Zainuddin, Naib Canselor UCYP
Antara penerima Excellence Tourism Education Contributor Award