UCYP telah diberi peluang untuk bersama-sama delegasi Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang dalam lawatan kerja ke New Zealand. Lawatan dijalankan ke beberapa buah universiti dan institusi pendidikan tinggi terkemuka di New Zealand. Antaranya ialah Massey University, Palmerston North dan Lincoln University, Christchurch, New Zealand. UCYP, telah diwakili oleh Profesor Madya Ts. Dr Hafizan Binti Mat Som, Timbalan Naib Canselor (Pemajuan Akademik & Kualiti). Objektif lawatan kerja bersama Kerajaan Negeri Pahang ini adalah bagi mewujudkan dan menjalin hubungan tripartit antara Kerajaan Negeri Pahang, UCYP dan Institusi Pendidikan Tinggi di New Zealand khususnya dalam bidang pertanian, agrikultur dan pendidikan bagi pembangunan sektor pendidikan khususnya di negeri Pahang.
Pada 20 Jun 2023, pertemuan bersama pihak pengurusan Massey University yang terletak di Palmerston North, New Zealand telah diadakan. Taklimat telah diberikan oleh Miss Savanah berkenaan latar belakang Massey University (M.U) dan program akademik yang ditawarkan serta kemudahan serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang disediakan kepada delegasi yang hadir. Massey University yang mempunyai kepakaran dalam bidang agrikultur, pertanian, penternakan dan industri tenusu turut memiliki beberapa cawangan di Auckland dan Wellington, manakala kampus utama adalah di Palmerston North. Pelbagai teknologi moden sudah digunakan oleh Massey University bagi meningkatkan hasil tenusu, hasil ladang dan tanaman serta meningkatkan kualiti produk-produk hasil tenusu, ladang dan tanaman di New Zealand. Delegasi Kerajaan Negeri Pahang dan UCYP kemudiannya dipecahkan kepada dua (2) kumpulan bagi tujuan lawatan tapak. Kumpulan 1 telah dibawa meneroka ladang ternakan dan meninjau kemudahan ladang tenusu milik School of Science, University of Massey. Semasa lawatan diadakan, ahli delegasi diberi peluang meninjau kemudahan di ladang tenusu termasuk kemudahan pengumpulan susu menggunakan dua (2) unit rotary milking parlour yang berkapasiti 30 dan 60 ekor lembu yang digunakan bagi proses pengumpulan susu daripada induk. Kemudahan ladang ini memberi peluang kepada mahasiswa di University of Massey untuk berhadapan situasi sebenar industri penternakan.
Kumpulan ke-2 pula dibawa ke FoodPilot, School of Food and Advanced Technology, College of Sciences, Massey University. FoodPilot adalah salah sebuah pusat yang digunakan bagi mencari solusi ke arah keterjaminan makanan berasaskan tumbuhan serta meningkatkan daya tahan makanan di rak. Lawatan kumpulan 2 ke ‘FoodPilot’ ini telah disambut baik oleh Dr. Rana Nassar, Pengurus ‘FoodPilot’. FoodPilot berkeluasan sebanyak 1000 meter persegi. Ianya mempunyai kepakaran pekerja dan peralatan pemprosesan produk makanan dan minuman yang berskala perintis. FoodPilot berfokuskan penyelesaian terhadap isu-isu kualiti berkaitan produk makanan dan minuman. FoodPilot juga adalah sebahagian daripada Rangkaian Inovasi Makanan New Zealand (NZFIN), rangkaian nasional yang menyediakan kemudahan dan kepakaran yang diperlukan untuk membangunkan produk dan proses baharu, daripada idea kepada kejayaan komersial. Selain daripada itu, FoodPilot juga merupakan ahli dalam organisasi FoodHQ yang terdiri dalam kalangan pakar bidang ‘food science and technology’ yang berskala besar dan lebih kompleks. Khidmat perundingan teknikal yang ditawarkan termasuk: bengkel dan idea; pembangunan dan inovasi produk dan proses keselamatan makanan; penentuan jangka hayat penilaian pengguna dan ujian sensori.
Seterusnya, pada 22 Jun 2023, delegasi Kerajaan Negeri Pahang bersama-sama dengan UCYP telah mengadakan lawatan kerja ke Lincoln University yang terletak di Christchurch, New Zealand. Delegasi disambut oleh Ms Annie, Pegawai Perhubungan Antarabangsa Lincoln University dan beberapa orang pengurusan tertinggi universiti seperti Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar, Dekan Faculty of Agriculture and Life Sciences, Penyelidik Pasca Kedoktoran dan dua orang warga pelajar Malaysia yang mengikuti program ijazah kedoktoran di Lincoln University. Delegasi diberi taklimat berkenaan latar belakang Lincoln University dan program-program akademik yang ditawarkan, projek penyelidikan yang sedang dijalankan dan fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang disediakan di Lincoln University. Lincoln mempunyai kepakaran dalam bidang agrikultur, pertanian, penternakan dan industri tenusu. Delegasi turut dibawa ke Makmal Inovasi Makanan untuk melihat prasarana penyelidikan ke arah menghasilkan inovasi makanan daripada bahan berasaskan tumbuhan bagi tujuan keterjaminan makanan.
Lawatan ke Massey University ini telah membuka peluang kerjasama antara Massey University, University College Yayasan Pahang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang bagi nilai tambah kepada produk tanaman pertanian (Industri Asas Tani), produk daging ternakan dan produk tenusu. Lincoln University juga komited dalam menjalin hubungan dua hala dengan Kerajaan Negeri Pahang, UCYP dan beberapa agensi kerajaan negeri khususnya dalam bidang produk tanaman pertanian (Industri Asas Tani), produk daging ternakan dan produk tenusu. Antara peluang kerjasama yang dirangka adalah kajian jangka masa pendek dan panjang bagi pelajar sarjana dan doktor falsafah, latihan/kursus tambahan bagi para pekerja, penawaran kursus secara berkembar bagi program pasca siswazah dalam pelbagai bidang baharu serta pelaksanaan program mobiliti pelajar yang memfokuskan kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran teknologi semasa bagi sektor berkaitan agrikultur, pertanian, penternakan dan pendidikan. UCYP selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pahang, memberi komitmen tinggi untuk berusaha menjadikan Negeri Pahang sebagai sebuah negeri yang berkemampuan tinggi dalam penghasilan makanan kendiri.
Sesi Pertemuan dan Perkongsian daripada Pengurusan Tinggi Massey University kepada keseluruhan Delegasi dari Pejabat Kerajaan Negeri Pahang dan UCYP yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang.
Sekitar lawatan ke Massey University, Palmerston North, New Zealand
Delegasi Kerajaan Negeri Pahang bersama-sama UCYP disambut oleh Pengurusan Tertinggi Lincoln University, Christchurch, New Zealand
Sekitar lawatan ke Lincoln University, Christchurch, New Zealand