IDEAS20 adalah program tahunan Kolej Yayasan Pahang (KYP) yang mengetengahkan karya seni pelajar tahun akhir Kolej Yayasan Pahang (KYP) (Diploma in Graphics and Digital Media KYP-UiTM). Pada tahun ini, program tersebut telah diadakan di Aqua Crystal Hall, Kampus Utama UCYP. Naib Canselor UCYP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dengan sukacitanya merasmikan program tersebut pada 9 Januari 2020.
Pameran ini melibatkan seramai 18 orang mahasiswa KYP dalam jurusan Diploma Grafik dan Media Digital daripada Fakulti Seni Kreatif dan Pembangunan Insan – program kerjasama KYP dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Acara ini turut melibatkan 150 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah atas, pelajar IPTA / IPTS, industri dan masyarakat setempat.
IDEAS20 ini adalah satu program yang dikhususkan kepada pelajar tahun akhir pelajar KYP yang mewajibkan mereka untuk melaksanakan projek akhir karya seni berdasarkan kajian dan perbincangan yang telah dilakukan bersama ahli akademik sekolah pengajian berkenaan.
Selain itu, IDEAS20 dapat dilihat sebagai satu medium bagi menonjolkan bakat mahasiswa KYP khususnya dalam bidang seni kreatif untuk memantapkan tahap keyakinan mereka di samping mendorong mereka untuk menghasilkan karya yang segar, kreatif dan mempunyai unsur inovatif. Program sebegini turut dapat mempromosikan jenama KYP sebagai institusi pendidikan yang mampu melahirkan graduan seni kreatif yang berdaya saing serta memberi sumbangan bukan sahaja terhadap komuniti setempat malah antarabangsa.
Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memeriahkan pameran ini, antaranya adalah persembahan animasi, kuiz IDEAS, eksplorasi IDEAS dan juga pameran hasil karya reka bentuk grafik para pelajar KYP yang dibuka bagi tontonan pengunjung.
Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Zainuddin menekankan peri pentingnya reka bentuk grafik yang mendapat sentuhan mengikut peredaran masa dan penambahbaikan dari segi teknologi grafiknya. Beliau juga berkongsi tentang masa depan pelajar dalam industri seni digital dan para pelajar harus sentiasa bersedia.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian anugerah kecemerlangan. Para penerima anugerah ialah, Muhammad Daniel Haiqal Bin Ahmad Nordin yang memenangi Anugerah Pengarah Akademik, Mohd Akmal Bin Jamaluddin yang memenangi Anugerah Terbaik daripada yang Terbaik, dan Siti Zulaikha Bt Sheikh Ismail yang memenangi Anugerah Persembahan Terbaik. Mereka semua menerima sijil dan plak penghargaan. Tahniah kepada tiga (3) penerima anugerah tersebut dan semua pelajar Diploma Grafik dan Media Digital KYP-UiTM.
Ditulis oleh Wan Muhammad Safuan Bin W Ab Rahman
Naib Cancelor UCYP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin memberi ucaptama.
Peserta memperkenalkan hasil rekaan melalui produk minuman
Penerima Anugerah IDEAS20
Penerima Anugerah IDEAS20