UCYP dan Jamia Markaz, India tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU)
Pada 22 Julai 2023, momen bersejarah dalam bidang pendidikan dan keilmuan telah dicapai oleh University College of Yayasan Pahang (UCYP) melalui Institut Peradaban Islam Antarabangsa (IIIC), apabila secara rasminya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan institusi Jamia Markaz, India. Institusi ini yang diasaskan oleh Mufti Besar India, Tuan Yang Terutama Sheikh Abubakr Ahmad yang juga merupakan tokoh yang disegani dunia, membuktikan kredibiliti universiti ini amat diyakini khususnya melibatkan bidang penyelidikan dan pengajaran hadis. Dalam konteks kerjasama ini juga lantikan Mufti Besar India sebagai Profesor Adjung, dilihat bakal memberi manfaat besar terhadap perkembangan pendidikan Islam di Malaysia terutamanya dalam memperkukuhkan hubungan strategik di peringkat global. Selain itu, sinergi antara kedua institusi ini, diharapkan dapat dipertingkatkan bagi membentuk masa depan pendidikan yang lebih cemerlang dan berimpak luas.
Bersempena dengan penganjuran Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, UCYP amat berbesar hati atas kesudian pihak JAKIM Malaysia untuk menyediakan platform ini sebagai momen yang terbaik bagi saksi kerjasama yang terjalin di antara dua buah institusi. Majlis bermakna ini turut disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri’ Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri Hal Ehwal Agama serta lebih 3,000 para hadirin dari kalangan ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan, para pegawai kanan kerajaan, NGO Islam, para ilmuan Islam serta orang awam.
Selain itu, UCYP melalui Tun Ghazali Shafie Institute Strategic for Leadership (TGS-ISL) turut menyerahkan surat lantikan kepada Tuan Yang Terutama Sheikh Abubakr Ahmad, Mufti Besar India sebagai Felo Kehormat bagi institut tersebut. Penyerahan surat pelantikan ini telah dibuat oleh Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Abdul Monir bin Yaacob, Ahli Lembaga Pengelola UCYP. Lantikan ini adalah bagi mengiktiraf kepimpinan luar biasa dalam bidang kajian strategik dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau serta amalan kepimpinan yang dipamerkan.
Diharapkan kerjasama yang dimeterai ini, membawa manfaat positif antaranya dari sudut akademik, penyelidikan, pertukaran ilmu dan teknologi, pembangunan program pendidikan dan program pertukaran budaya antara India dan Malaysia.
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) oleh YH. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Hj Zainuddin, Naib Canselor UCYP dan Tuan Yang Terutama Sheikh Abubakr Ahmad, Mufti Besar India. Majlis turut disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia
(Sumber: RTM Malaysia)
Penyerahan surat lantikan Felo Kehormat Tun Ghazali Shafie-Institute Strategic for Leadership (TGS-ISL) oleh Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Abdul Monir bin Yaacob, Ahli Lembaga Pengelola UCYP
(Sumber: RTM Malaysia)
Sekitar Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), UCYP dan Jamia Markaz;
Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya