UCYP sekali lagi mengorak langkah di peringkat antarabangsa dengan penganjuran 3rd Business, Management and Governance International Conference 2023 (BMAGiC) yang diadakan pada 9 dan 10 November 2023. Persidangan antarabangsa ini buat julung kalinya dianjurkan dengan usaha sama UCYP dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Persidangan selama dua (2) hari di Auditorium, Kampus Utama, UCYP ini mengetengahkan tema “Integrity, Governance, and Sustainability: Building a Resilient Future”. Sejarah termetrai apabila Persidangan BMAGiC 2023 dijalankan secara fizikal setelah dua (2) tahun diadakan secara maya.
Majlis pembukaan BMAGiC 2023 telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP; Yang Hormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd; Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP dan Yang Berbahagia Datuk Nor Yahati binti Awang, Ketua Pegawai Eksekutif IIM sebagai rakan penganjur persidangan pada kali ini. Membuka tirai majlis, kehadiran semua tetamu disambut dengan kumpulan tarian kebudayaan dari Kelab Tarian Walinong Sari UCYP yang menampilkan persembahan menarik, mencerminkan kekayaan warisan budaya Malaysia.
YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza dalam ucapan perasmiannya menggariskan matlamat dan aspirasi persidangan antarabangsa ini. Beliau menekankan kepentingan pendidikan dan kecemerlangan dalam mencapai kejayaan berterusan. Pembentang utama BMAGiC 2023, YBhg. Datuk Nor Yahati telah menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk “From Policy to Practice: Aligning Integrity and Governance for Sustainable Outcomes”; menyentuh isu integriti dan tadbir urus yang relevan dalam mencapai hasil pembangunan yang mampan.
BMAGiC 2023 sebagai persidangan antarabangsa yang berprestij juga turut menampilkan pembentang dari pelbagai negara seperti Profesor Dr. Sri Fadilah dari Universitas Islam Bandung, Indonesia; Dr. Lukman Raimi dari Universiti Brunei Darussalam, Brunei dan Dr. Muzaffar Asad dari Dhofar University, Oman.
Penganjuran BMAGiC 2023 oleh UCYP dan IIM adalah gambaran kebersamaan institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam usaha mengukuhkan integriti sebagai asas pembangunan masyarakat dan negara. Dengan penekanan kepada integriti dan tadbir urus, serta pengiktirafan kepada semua peserta, matlamat BMAGiC 2023 telah dapat direalisasikan. Semoga penganjuran BMAGiC dapat mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara UCYP dan IIM di samping meningkatkan keberadaan UCYP di peringkat antarabangsa.
Ucapan Pembukaan oleh YH Profesor Dato’ Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain, Naib Canselor UCYP dan YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd
Ucaptama yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Nor Yahati binti Awang, Ketua Pegawai Eksekutif IIM
Sekitar Majlis Perasmian Persidangan BMAGiC 2023
BMAGiC 2023 – sekitar sesi pembentangan daripada peserta
Hari Kedua BMAGiC 2023; persidangan turut dijalankan secara hibrid