Menjelang perayaan Aidilfitri warga KESB, UCYP & KYP telah disatukan dalam perjumpaan bermakna bersama Ketua Eksekutif / Naib Canselor, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin. Perjumpaan yang dianjurkan oleh Jabatan Sumber Manusia ini, telah melibatkan hampir 300 kakitangan serta pihak pengurusan dan diadakan di Auditorium Kampus Utama UCYP pada 27 April 2022. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd, YBhg. Dato’ Mohamed Suffian bin Awang.
Menerusi ucapan Ketua Eksekutif KESB merangkap Naib Canselor UCYP, objektif utama perjumpaan ini adalah tertumpu kepada perkongsian kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh kumpulan KESB sepanjang tiga tahun kebelakangan ini. Menurut beliau, walaupun universiti berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran, UCYP terus relevan dan signifikan dalam industri pendidikan terutamanya melalui penglibatan dari dalam dan luar negara. UCYP terus mengorak langkah menerusi kolaborasi serta siri konferens antarabangsa yang menjadi platform utama perkongsian idea serta membuka perspektif yang lebih luas dalam jalinan kerjasama. Kejayaan-kejayaan yang dicapai ini adalah bukti perpaduan dan kesepakatan warga kerja KESB, UCYP & KYP dalam memastikan institusi ini terus bertahan.
Di samping itu majlis turut dimeriahkan lagi dengan pengumuman sumbangan duit raya kepada seluruh kakitangan serta penyampaian hadiah Pertandingan Video Raya Terbaik 2021 serta Foto Paling Kreatif 2022 kepada pemenang. Selain itu, Kelab Wargakerja IKIP juga turut berbesar hati menghulur sumbangan pek kuih raya serta juadah berbuka kepada seluruh kakitangan yang hadir di majlis tersebut. Diharapkan jalinan kesepakatan yang terbina di kalangan warga kerja institusi ini, dapat melakar kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
Ditulis oleh : Farah Hariaty Mohd Shukri
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin berkongsi kejayaan yang telah dicapai oleh UCYP
Rakaman foto kenangan bersama warga kerja KESB, UCYP & KYP
Bersama pemenang utama Video Raya Terbaik 2021
Pemenang utama Pertandingan Foto Paling Kreatif 2022 anjuran Pusat Sumber UCYP
Hampir 300 orang staf KESB hadir dalam pertemuan bersama Ketua Eksekutif KESB / Naib Canselor UCYP