Sektor ekonomi dan perniagaan merupakan bidang yang signifikan dalam landskap pembangunan negara. Sebagai pembuka tirai tahun 2023, University College of Yayasan Pahang (UCYP) melalui Tun Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership telah menyediakan inisiatif bagi perkembangan ekonomi ke peringkat global khususnya di kalangan belia. Program bual bicara yang telah diadakan pada 16 Januari 2023 ini, menampilkan seorang tokoh korporat yang berkaliber iaitu YBhg. Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan CIMB dan kini merupakan Pengerusi Ikhlas Capital. Berpengalaman luas dalam bidang perniagaan, beliau turut disenaraikan sebagai 50 Orang Paling Berpengaruh di Asia sepanjang sedekad yang lalu. Selain daripada pelbagai pengiktirafan yang diterima, beliau turut prihatin dengan menyatakan sokongannya terhadap bidang pendidikan, penyelidikan serta aktiviti kebajikan.
Objektif utama penganjuran program ini, adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti berkaitan dengan senario sektor perniagaan dan ekonomi di Malaysia juga merangkumi aspek pembangunan karier dan jati diri khususnya bagi golongan belia. Program bual bicara ini telah menerima kehadiran hampir 350 peserta, yang terdiri daripada golongan profesional, para belia, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi. Program turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang; YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang serta YBhg. Encik Airulamri Amran, Ketua Pegawai Korporat Yayasan Pahang.
Menerusi perkongsian beliau, seorang belia atau pelajar yang ingin melangkah ke alam pekerjaan perlu menekankan beberapa perkara bagi membina karier mereka. Antara tips yang dikongsikan ialah sentiasa bekerja keras serta memberi sepenuh komitmen terhadap tugasan yang diberikan. Kesungguhan dan komitmen yang ditonjolkan membantu dalam memberi persepsi terbaik kepada majikan. Selain itu, beliau perlu tampilkan kecerdasan daya fikir EQ yang tinggi berbanding IQ. Ianya membantu seseorang itu dalam berkomunikasi dengan baik, mahir dalam mengawal emosi serta mampu berhadapan dengan konflik serta mencari solusi terbaik. Belia juga dianjurkan agar sentiasa bergaul dengan pelbagai golongan juga budaya agar dapat membina persepsi yang kritikal dan pertimbangan yang lebih baik. Akhir sekali, pelajar perlu mempunyai sikat berintegriti serta jujur agar majikan merasa yakin dan percaya dengan pekerja yang diambil dan kesemua tips ini perlu ditonjolkan semasa dalam pencarian pekerjaan, khususnya.
Di samping itu, beliau turut berkongsi lima ciri utama untuk berjaya menceburi bidang perniagaan dan korporat, antaranya ialah:
- Kenalpasti kekuatan dan kelemahan diri serta kaedah dalam menampilkan kelebihan itu sebagai kelebihan utama
- Berkomunikasi dengan empati. Mendengar dan memahami situasi yang dihadapi sebelum mengambil keputusan
- Power of anticipation, berpegang pada prinsip memandang ke depan dan tidak terbawa-bawa dengan kegagalan lepas serta belajar kemahiran baru terutama melibatkan teknologi.
- Mengamalkan kepelbagaian dalam pergaulan, budaya, cara kerja dan sebagainya dalam pembentukan kumpulan agar mempunyai perspektif yang berbeza dalam melaksanakan pekerjaan
- Tidak terbawa dengan emosi atas setiap kegagalan, perlu bangkit untuk lebih berjaya
Di samping itu, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak turut menyerahkan naskah hasil penulisan beliau bertajuk “Di Sebalik Nama” kepada YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak dan Profesor Emeritus Ahmad Bin Hj. Zainuddin, Naib Canselor UCYP. Buku ini telah mengabadikan segala pengalaman, cabaran dan kejayaan beliau sepanjang berada dalam bidang korporat dan perniagaan.
Semoga program ini dapat memberikan impak yang besar dalam usaha untuk merancakkan pembangunan ekonomi dalam kalangan masyarakat bukan sahaja di peringkat lokal malah global. Dari sudut lain, semoga usaha yang dibawa oleh UCYP ini dapat membantu golongan belia khususnya anak Pahang untuk lebih terbuka dalam membentuk perjalanan karier mereka serta mengenalpasti potensi diri yang terbaik untuk kejayaan masa hadapan.
Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri
Ucapan Aluan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Hj. Zainuddin, Naib Canselor UCYP
Perkongsian oleh Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak, Business Talk Building Careers and Businesses: Understanding The Malaysian Context
Penyerahan buku ‘Di Sebalik Nama’ oleh Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak
Sesi soal jawab bersama penonton
Sekitar program Business Talk – Building Careers and Businesses: Understanding The Malaysian Context