Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara detik mendebarkan dan berharga dalam perjalanan akademik seorang pelajar. SPM seringkali diibaratkan sebagai satu titik permulaan untuk meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi. Tahun ini, keputusan SPM telah diumumkan pada tanggal 8 Jun 2023 secara serentak di seluruh negara. Sebagai satu usaha untuk memperkenalkan UCYP sebagai antara institusi pendidikan terbaik di Negeri Pahang, UCYP melalui Pejabat Penolong Naib Canselor (Enrolmen Pelajar & Pejabat Antarabangsa) telah menggerakkan satu inisiatif untuk menjelajah ke 120 buah sekolah menengah di seluruh Negeri Pahang sempena dengan pengumuman keputusan SPM tersebut. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan UCYP kepada para pelajar lepasan SPM dan memberikan pendedahan kepada mereka berkenaan peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang dengan kelayakan minima di UCYP.
Siri jelajah ini melibatkan 250 staf dan kakitangan UCYP ke 11 daerah di Negeri Pahang. UCYP menawarkan sebanyak 600 peluang pendidikan dari pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, perniagaan, sains komputer, seni kreatif dan banyak lagi. Bagi kemasukan Jun/Julai 2023, University College of Yayasan Pahang telah menawarkan 20 bidang pengajian dari lima (5) buah fakulti merangkumi pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Program ini telah mendapat kerjasama bukan sahaja dari pihak sekolah malah disokong sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Penolong Naib Canselor (Enrolmen Pelajar dan Pejabat Antarabangsa), Encik Yung Leong Lam berkata, inisiatif ini merupakan satu strategi bagi mempromosi dan memperkenalkan UCYP kepada masyarakat khususnya yang berada di Negeri Pahang. Hal ini dilihat selaras dengan misi dan visi UCYP dalam menjadi salah sebuah institusi pendidikan terkemuka bukan sahaja di Negeri Pahang bahkan juga di peringkat antarabangsa.
UCYP muncul sebagai destinasi menyambung pengajian yang diyakini dengan pelbagai tawaran biasiswa dan bantuan sara hidup khususnya dari Yayasan Pahang. Semoga dengan adanya inisiatif ini, bukan sahaja dapat membantu meningkatkan keberadaan UCYP, tetapi juga dapat membuka lebih banyak peluang pendidikan khususnya untuk para pelajar B40 dan M40.
Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP turut sama ke SMK St. Thomas Kuantan untuk memperkenalkan UCYP kepada para pelajar dalam Siri Jelajah Sekolah-sekolah Negeri Pahang.
Hampir keseluruhan staf terlibat dalam Siri Jelajah Sekolah-sekolah Negeri Pahang Sesi 2023