Pada 11 Mei 2024, satu inisiatif penting untuk kelestarian alam sekitar telah dilaksanakan di Kampung Anak Air, Kuantan, Pahang. Program Rakan Bumi: Lestari Hijau Peringkat Negeri Pahang dianjurkan dengan kerjasama antara UCYP University, Jabatan Belia Sukan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Anak Air. Program ini bertujuan untuk menggalakkan kesedaran dan penglibatan semua terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat. Sebanyak 100 anak pokok telah ditanam di kawasan Kampung Anak Air sebagai sebahagian daripada usaha menghijaukan kawasan tersebut. Aktiviti penanaman pokok ini melibatkan 15 sukarelawan dari UCYP University dan sembilan siswa dari Sekolah Tinggi Agama Islam Pengembangan Ilmu Quran, Sumatera, yang sedang mengikuti program Mobiliti Antarabangsa di UCYP University. Penglibatan pelajar antarabangsa dari Sumatera ini, bukan sahaja menarik perhatian malahan mereka turut menyumbang tenaga dalam aktiviti penanaman pokok dan berpeluang untuk berkongsi pengalaman akan inisiatif kelestarian alam sekitar di negara mereka. Program ini menjadi platform untuk pertukaran budaya dan ilmu pengetahuan, sekaligus mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. UCYP University sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam menyokong usaha kelestarian alam sekitar. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang progresif, UCYP University percaya penglibatan dalam program seperti Rakan Bumi ini adalah bukti nyata akan usaha yang berterusan untuk mendidik pelajar dan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Hubungan antara komuniti tempatan, institusi pendidikan dan agensi tempatan menunjukkan betapa pentingnya kerjasama pelbagai pihak dalam mencapai matlamat kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini tidak hanya tertumpu kepada usaha menghijaukan bumi tetapi juga memupuk semangat kesukarelawanan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan peserta. Setiap pokok yang ditanam adalah simbol harapan untuk masa depan yang lebih hijau dan lestari. Semoga usaha-usaha ini akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada alam sekitar kita.

[vc_single_image image=”23659″ img_size=”full”]
[vc_single_image image=”23662″ img_size=”full”]
[vc_single_image image=”23665″ img_size=”full”]