Pada 23 Mac 2024, telah diadakan agihan bubur lambuk di pekarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan Pahang. Program agihan bubur lambuk ini, merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Pahang dan hasil sumbangan dari pihak Yayasan Pahang, YP Plantation Holdings Sdn. Bhd., dan KYP Education Sdn. Bhd. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan komuniti serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya dalam bulan Ramadan yang berkah.
Sebanyak 1000 bekas bubur lambuk telah diagihkan bermula seawal jam 4 petang, di mana sukarelawan daripada organisasi yang menyumbang berkumpul bagi memastikan program berjalan lancar. Juadah bubur lambuk yang sinonim pada bulan Ramadan ini, bukan sahaja menjadi pilihan juadah untuk berbuka puasa, tetapi juga melambangkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap sesama insan
Selain agihan bubur lambuk, program turut dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Nasyid dari Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) UCYP University. Persembahan yang dibawakan oleh para pelajar Masyarakat Asli ini selain daripada membawa pesanan berunsur kerohanian turut memberi pendedahan kepada komuniti luar terhadap kewujudan pelajar Masyarakat Asli yang berbakat tinggi.
Antara pengisian program yang dibawakan oleh pihak penganjur, merupakan ceramah Ramadan yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Azhar bin Jaafar@Ramli, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Diplomasi Komuniti), UCYP University. Menerusi ceramah yang disampaikan, Prof. Madya Dr. Azhar menekankan kepentingan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan refleksi diri. Beliau juga mengingatkan hadirin tentang kelebihan bersedekah dan saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat. Ceramah yang penuh dengan pengisian ilmiah dan nasihat itu telah berjaya menarik perhatian hadirin yang hadir.
Kerjasama antara Yayasan Pahang, YP Plantation Holdings Sdn. Bhd., KYP Education Sdn. Bhd., dan Jabatan Agama Islam Pahang dalam menjayakan program ini dilihat antara contoh terbaik bagaimana sinergi antara pelbagai pihak dapat membawa manfaat besar kepada komuniti. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga memperkukuhkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam masyarakat.
Bagi pihak penganjur, kejayaan program ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen semua pihak yang terlibat. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan dan ditingkatkan pada masa hadapan, dengan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai pihak. Ini akan memastikan lebih ramai masyarakat yang dapat merasai nikmat dan keberkatan daripada program-program seumpama ini.
Agihan bubur lambuk oleh wakil Pengurusan KESB / UCYP University / KYP dan turut disertai MAMPAN UCYP University
Antara pengisian program yang disediakan oleh pihak penganjur