Bulan November telah diangkat sebagai Bulan Integriti Nasional, rentetan daripada itu Pahang telah mengadakan sambutan di peringkat negeri pada 30 November 2022. Program ini merupakan anjuran kerjasama antara Yayasan Pahang, University College of Yayasan Pahang (UCYP), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Menurut IIM, pelbagai bentuk program dan aktiviti bagi pemantapan dan pengukuhan budaya integriti khususnya di kalangan warga kerja Malaysia di seluruh negara telah diadakan sepanjang November. Pihak IIM juga telah menjadikan sambutan ini sebagai salah satu acara tahunan dalam kalendar IIM dengan harapan pembudayaan integriti dapat dipupuk dalam komuniti.
Sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi yang telah menerima pengiktirafan Anugerah Emas dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah, UCYP sangat menyokong penuh agenda pengukuhan budaya integriti yang cuba dibawa oleh pihak IIM. Antara objektif utama sambutan ini ialah bagi menyemarakkan lagi semangat integriti, nilai-nilai murni dan tadbir urus khususnya dalam masyarakat mahupun organisasi sebagai benteng pemerkasaan komuniti serta negara. Ianya turut menzahirkan komitmen warga negeri Pahang secara amnya untuk melipat gandakan kebertanggungjawaban dalam pengamalan integriti dan tadbir urus yang berkesan meliputi aktiviti serta pengurusan organisasi.
Majlis yang dirasmikan oleh Yang Hormat Dato’ Mohd Zakaria Bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang turut dihadiri oleh 220 tetamu jemputan dari jabatan dan agensi kerajaan negeri Pahang, anak-anak syarikat serta kakitangan UCYP. Antara intipati dan pengisian program yang dijalankan adalah berbentuk forum pemerkasaan integriti, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) serta program pengukuhan integriti bersama mahasiswa IPT di UCYP. Menerusi sesi forum “Pahang Berintegriti Masyarakat Sejahtera” yang pengerusikan oleh Encik Mohd Juhari Bin Ab Kadir; Ketua Unit Integriti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta barisan panel hebat iaitu YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Hassan; Felo Kehormat, Tun Ghazali Shafie – Institute for Strategic Leadership (UCYP) / Mantan Ketua Setiausaha Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Akhbar Bin Abdul Sata @ Satar; Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) dan YBhg. Puan Nuridzuana Binti Ismail; Compliance Officer, (Head, Integrity and Governance Unit) Maxis Berhad telah membincangkan konsep integriti yang seharusnya diperkenalkan dalam setiap organisasi.
Diharapkan jalinan hubungan strategik antara UCYP dan IIM bakal memberi impak yang signifikan terutamanya dalam memperkasakan pembudayaan integriti, nilai-nilai murni dan tadbir urus demi generasi akan datang. Malahan kerjasama ini jelas melambangkan hasrat kesemua pihak dalam memupuk budaya berintegriti yang tidak hanya tertumpu kepada tadbir urus operasi sahaja.
Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri
Perasmian oleh Yang Hormat Dato’ Mohd Zakaria Bin Ibrahim
Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap wakil rasmi
Setiausaha Kerajaan Negeri
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara
University College of Yayasan Pahang dan Institut Integriti Malaysia (IIM)
disaksikan oleh Dato’ Mohd Zakaria Bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang
Forum “Pahang Berintegriti Masyarakat Sejahtera” bersama barisan panel YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Hassan, YBhg. Dato’ Sri Akhbar Bin Abdul Sata @ Satar dan YBhg. Puan Nuridzuana Binti Ismail
Sesi penyampaian cenderamata kepada barisan panel dan moderator oleh Dato’ Mohd Zakaria Bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang
Sekitar Majlis Bulan Integriti Peringkat Negeri Pahang 2022