Istiadat konvokesyen diadakan sebagai tanda meraikan kejayaan para pelajar yang bertungkus lumus berusaha demi segulung ijazah. Bukan itu sahaja, saat itu turut menjadi kebanggaan para ibu bapa dan pensyarah yang menjadi saksi atas segala cabaran dan perit jerih perjalanan yang mereka lalui.
Setelah hampir dua tahun istiadat konvokesyen terpaksa ditangguhkan berikutan wabak Pandemik-19, UCYP dan KYP sekali lagi meraikan para pelajar yang layak bergraduat dalam Istiadat Konvokesyen UCYP & KYP 2022 dan Sambutan 30 Tahun IKIP/KYP/UCYP, pada 10 dan 11 September 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang.
Istiadat konvokesyen ini turut dimuliakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, selaku Tuanku Canselor UCYP. Selain itu, turut hadir sama adalah Pro Canselor UCYP iaitu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Bin Wan Ismail dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengelola UCYP, Ahli Lembaga Pengelola (Interim) KYP dan tetamu-tetamu kehormat.
Acara kemuncak Istiadat Konvokesyen ini adalah persembahan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Canselor UCYP. Baginda menzahirkan kegembiraan kerana sekali lagi dapat bersama-sama di Istiadat Konvokesyen, dan pada kali ini secara bersemuka dan seterusnya menyaksikan kejayaan para graduan. Baginda turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian UCYP dan KYP yang telah berjaya untuk terus utuh dan kukuh dengan legasinya dan kini mencecah 30 tahun penubuhannya.
Selari dengan konsep yang dibawa oleh pihak UCYP dan KYP pada Istiadat Konvokesyen kali ini iaitu Environmental, Social & Governance (ESG), baginda turut menyeru agar rakyat negeri Pahang dapat menyokong usaha yang dijalankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam inisiatif kelestarian alam sekitar dan tidak rakus mengejar arus pembangunan yang antaranya berpotensi menjejaskan alam sekitar. Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Canselor berkenan untuk mengurniakan Watikah Pemasyhuran Pro Canselor UCYP kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Bin Wan Ismail dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Seperti yang telah dipersetujui oleh Senat Universiti, Istiadat Konvokesyen turut diserikan dengan Watikah Pelantikan Ijazah Doktor Kehormat dalam Politik dan Kerajaan kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas sumbang bakti yang telah diberikan untuk negeri Pahang Darul Makmur.
Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Canselor turut berkenan menganugerahkan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Program Professional dan Eksekutif kepada graduan UCYP dan KYP. Berdasarkan rekod, seramai 1,775 pelajar UCYP dan KYP yang layak bergraduat, dan bagi Istiadat Konvokesyen pada kali ini seramai 1,212 graduan telah hadir bagi penerimaan ijazah mereka. Sementara itu, Senat Universiti telah bersetuju memilih Saudari Liyana Nur Hazirah Binti Mohamad Noor Azman daripada Fakulti Pembangunan Manusia bagi Anugerah Tuanku Canselor. Pemilihan adalah berdasarkan kepada pencapaian akademik yang cemerlang, personaliti yang unggul, penglibatan aktif dalam aktiviti bukan akademik serta daya kepimpinan cemerlang.
Berikutan Istiadat Konvokesyen pada kali ini merekodkan jumlah kehadiran pelajar tertinggi, maka para graduan dibahagikan kepada tiga sidang bagi memastikan kualiti dan kelancaran majlis. Diharapkan Istiadat Konvokesyen pada kali ini meninggalkan memori yang paling manis dan bermakna kepada para graduan dan seterusnya menjadi pembakar semangat kepada para pelajar lain untuk berusaha menamatkan pengajian mereka dengan pencapaian yang terbaik.
Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri
Sidang 1
Pembukaan Istiadat Konvokesyen UCYP & KYP 2022, disempurnakan oleh
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung, Tuanku Canselor
Tuanku Canselor berkenan berangkat ke tapak pameran Sambutan 30 Tahun IKIP/KYP/UCYP
Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agung, Tuanku Canselor UCYP
KDYMM Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agung, Tuanku Canselor UCYP meninggalkan Istiadat Konvokesyen UCYP & KYP 2022 dan Sambutan 30 Tahun IKIP/KYP/UCYP
Sidang 2
Disampaikan oleh Pro Canselor UCYP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Sidang 3
Disampaikan oleh Naib Canselor UCYP, Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin
Sekitar Istiadat Konvokesyen UCYP & KYP 2022 dan Sambutan 30 Tahun IKIP/KYP/UCYP, pada 10 dan 11 September 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang.