“Education is not the filling of a bucket but the lighting of a fire.” – William Butler Yeats
UCYP Malaysia hari ini maju selangkah lagi ke hadapan dengan menandatangani satu memorandum perjanjian bersama Beijing Information Science and Technology University (BISTU) yang merupakan antara institusi pendidikan terkemuka di Republik Rakyat China. BISTU ialah antara institusi pengajian tinggi awam yang menumpukan kepada disiplin sains kejuruteraan, dan turut menawarkan program-program dalam sektor pengurusan, pentadbiran, dan pengajian liberal. Di samping itu, BISTU sedang giat memperkukuhkan lagi struktur akademiknya, dengan menubuhkan Institut Kejuruteraan Beijing dan Institut Teknologi Maklumat Beijing.
Bertitik tolak dari permulaan kerjasama pada tahun 2019, UCYP melalui Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama BISTU di Beijing, China. Memorandum itu merangkumi kerjasama dalam bidang penerbitan, penyelidikan, dan hal ehwal akademik. Hubungan strategik yang terjalin itu telah memberikan manfaat yang signifikan kepada kedua-dua universiti. Sedari awal kerjasama, BISTU aktif dalam menyertai pelbagai konferens dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh UCYP termasuklah International Conference on Information Technology and Society (IC.ITS) dan Business Management and Governance International Conference (BMAGIC).
Oleh yang demikian, ruang kerjasama strategik ini telah diperkemaskan lagi melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian Dual-Program bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan yang diadakan di Kampus BISTU, Beijing, China pada 05 Julai 2023 lalu. Memorandum ini merupakan satu lagi langkah strategik yang diusahakan oleh kedua-dua buah institusi untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang pengurusan perniagaan. Para pelajar yang mendaftar melalui Dual-Program ini akan melalui sesi pembelajaran selama 2 tahun di UCYP Malaysia dan 2 tahun di BISTU, China. Kerjasama merentasi negara ini dilihat antara pencapaian baharu bagi UCYP Malaysia.
UCYP yang diketuai sendiri oleh Yang Hormat Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP, disambut mesra oleh Naib Presiden Beijing Information Science and Technology University iaitu Profesor Xiao Zhisong, Pengarah Pejabat Antarabangsa merangkap Dekan Kolej Pendidikan Antarabangsa, Profesor Qu Li, Timbalan Pengarah Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan BISTU, Dr. Cheng Jin dan beberapa pimpinan tertinggi BISTU yang lain. Naib Canselor UCYP menerusi ucapannya menzahirkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China dan BISTU atas kesudian menjalinkan kerjasama ini dengan UCYP Malaysia. Tambahnya lagi, kerjasama ini membuktikan komitmen tinggi yang digalas oleh kedua-dua buah institusi dalam usaha untuk memberikan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran berkualiti tinggi buat para pelajar kedua-dua buah negara.
Semoga dengan adanya kerjasama dan kolaborasi ini dapat memberi manfaat yang besar buat para pelajar dan seterusnya menjadikan UCYP Malaysia sebagai sebuah institusi pendidikan terkemuka di persada antarabangsa.
Sesi pertemuan dan diskusi antara UCYP Malaysia dan Beijing Information Science and Technology University, BISTU yang berlangsung di Bangunan Pentadbiran, Kampus BISTU, Beijing, China.
Sesi menandatangani Memorandum Perjanjian Program Kerjasama antara UCYP Malaysia dan Beijing Information Science and Technology University (BISTU), Beijing China