“Solidarity is not discovered by reflection, but created” – Richard McKay Rorty-
Pada 22 November 2022, University College of Yayasan Pahang (UCYP) dengan kerjasama Centre For Student Engagement (CFORSE, UCYP) telah mengadakan sebuah program bagi menzahirkan solidariti kepada mangsa kejadian Tanah Runtuh di Batang Kali dan mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur. Inisiatif ini diwujudkan bagi menyatakan sokongan khususnya sokongan dalam bentuk moral kepada ahli keluarga serta mangsa banjir yang terlibat. Selain itu, ia juga merupakan satu inisiatif yang boleh menyemai dan membugar semangat penyatuan dan empati dalam diri warga UCYP dan KYP secara keseluruhannya. Program ini telah dihadiri oleh para pelajar UCYP dan KYP, staf-staf UCYP dan KYP serta seluruh komuniti setempat. Program yang bertempat di Lobi Utama, Kolej Utama, UCYP itu berlangsung dengan aktiviti menandatangani sepanduk atau banner serta menitipkan kata-kata semangat buat seluruh ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian ini.
Pada 16 Disember 2022 yang lalu, kejadian tanah runtuh di sebuah Tapak Perkhemahan popular di Batang Kali telah melibatkan seramai 94 orang mangsa yang terdiri daripada pelajar sekolah dan juga orang awam. Setakat hari ini, 61 orang mangsa telah berjaya di selamatkan manakala 30 orang telah disahkan meninggal dunia. 3 orang mangsa pula masih belum ditemukan. Seluruh agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga Pasukan Anjing Pengesan K9 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah digerakkan dalam usaha untuk mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut. Sehingga hari ini misi Search and Rescue (SAR) telah memasuki hari yang keenam. Sama-sama kita doakan semoga urusan pencarian mangsa yang belum dijumpai segera ditemukan.
Dalam program yang dijalankan ini, seluruh warga UCYP dan KYP serta komuniti setempat turut menzahirkan dukacita dan solidariti kepada mangsa-mangsa banjir yang sedang melanda negeri-negeri di Pantai Timur. Hujan lebat dan air pasang besar yang melanda negara kita telah mengakibatkan beberapa buah bandar utama di Negeri Terengganu dan Negeri Kelantan lumpuh. Setakat hari ini, angka mangsa yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Terengganu telah mencatatkan seramai 40456 orang mangsa. Manakala Negeri Kelantan pula mencatatkan mangsa banjir seramai 30551 orang. Angka tersebut dijangka akan terus menaik. Di Negeri Pahang, angka mangsa banjir juga hampir mencecah 1000 orang dengan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka khususnya di Daerah Kuantan dan Daerah Raub. Langkah-langkah penyediaan dan bantuan-bantuan telah mula digerakkan oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan di seluruh negara. Semoga semua mangsa banjir terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini.
Seluruh warga UCYP dan KYP menzahirkan ucapan takziah dan menyatakan sokongan sebagai tanda kebersamaan kepada mangsa-mangsa runtuhan dan mangsa banjir yang terlibat dalam ujian ini. Semoga penyatuan yang dibina atas dasar solidariti ini, sedikit sebanyak dapat menyalurkan motivasi serta sokongan buat semua mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.
Ditulis oleh : Nor Atiqah Binti Sukri
Sesi menandatangani banner sebagai tanda solidariti buat mangsa Tanah Runtuh di Batang Kali dan mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur
Staf dan para pelajar UCYP dan KYP yang turut hadir menyatakan solidariti buat mangsa banjir Pantai Timur dan mangsa Tanah Runtuh di Batang Kali, Selangor